Tertarik iklan jualan makanan, pesara guru rugi RM500

SIBU-- Seorang pesara guru tampil membuat laporan polis setelah menjadi mangsa penipuan pembelian makanan dalam talian Facebook.

Menurut sumber, wanita terbabit pada Jumaat lepas ternampak iklan di Facebook berkaitan satu halaman yang popular dengan jualan hidangan makanan.


Berikutan itu, mangsa tertarik untuk membeli hidangan makanan yang dijual di halaman Facebook tersebut.

Mangsa dikatakan telah menempah makanan untuk keluarganya dengan bayaran RM500.

"Mangsa menghubungi pentadbir kumpulan halaman Facebook terbabit pada Jumaat dan telah membuat pembayaran pada Sabtu.


"Namun, keesokannya makanan yang ditempah itu tidak dihantar kepada mangsa," kata sumber.

Malah, penjual terbabit juga telah menyekat nombor telefon dan Facebook mangsa.

Susulan itu, mangsa menyedari dirinya telah menjadi mangsa penipuan dan tampil ke Balai Polis Sentral Sibu untuk membuat laporan berhubung kejadian tersebut.


Menurut sumber, di ruang komen di halaman jualan makanan itu mendapati ramai yang telah menjadi mangsa penipuan.

Namun, kebanyakan mangsa tidak membuat laporan polis kerana beranggapan jumlah kerugian tidak banyak.
Next Post Previous Post