Taman Negara Niah diiktiraf secara rasmi sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO
KUCHING-- Tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah, Sarawak secara rasmi disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing.
Beliau memberitahu, keputusan pengiktirafan ini telah diumumkan pada jam 7.00 petang waktu tempatan ketika sesi Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-46 yang berlangsung pada 21 hingga 31 Julai 2024 di New Delhi, India.
Jelasnya, pengiktirafan berprestij ini telah diputuskan oleh 21 ahli Negara Anggota World Heritage Committee yang dipengerusikan oleh wakil Negara India.
"Dengan sukacitanya saya berkongsi berita menarik mengenai Taman Negara Niah yang kini secara rasmi diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-46 hari ini.
"Dengan ini, kami benar-benar percaya ia sudah pasti akan menarik sebilangan besar pengembara yang menghargai warisan budaya dan tidak sabar untuk menyaksikan mural prasejarah dan keajaiban alam semula jadi yang mengagumkan.
"Ini akan meningkatkan lagi industri pelancongan Sarawak, menyuntik semangat ke dalam ekonomi tempatan dan memberi manfaat kepada rakyat kita," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Tambah Tiong, Malaysia kini sedang berusaha untuk mencalonkan beberapa lagi tapak untuk status Warisan Dunia UNESCO.
Jelasnya, ia termasuk Taman Hutan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Selangor, Royal Belum State Park dan National Leprosy Control Centre.
"Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada agensi persekutuan dan kerajaan Sarawak atas sokongan dan kerjasama mereka, yang secara kolektif telah memudahkan kelancaran perjalanan pencalonan ini.
"Pengiktirafan ini sudah pasti permulaan yang memberangsangkan, sama ada kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, komuniti atau individu, kita semua mesti berkongsi tanggungjawab untuk memastikan warisan kita terus dilindungi dan diturunkan kepada generasi akan datang," tegasnya.
Justeru, beliau berharap pengiktirafan itu akan menambah nilai kepada tapak arkeologi Taman Negara Niah, menjadikannya sebagai aset pelancongan utama untuk Sarawak dan merangsang ekonomi masyarakat, Sarawak, dan seluruh Malaysia.
Sementara itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataannya berkata usaha pencalonan tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah ini telah bermula sejak 2019 di mana dokumen Tentative List telah dihantar kepada pihak UNESCO pada 22 Januari 2021.
Jelas kenyataan itu, pada 31 Januari 2023, dokumen pencalonan telah dikemukakan secara serahan tangan kepada pihak sekretariat UNESCO di Paris, Perancis.
"Penyenaraian di bawah World Heritage List UNESCO dikejar oleh seluruh
negara di dunia kerana ia merupakan pengiktirafan tertinggi yang dapat
diperoleh di peringkat dunia bagi tapak warisan.
"Selain mempromosi dan mengetengahkan tapak warisan negara di peringkat global, pengiktirafan ini turut menunjukkan komitmen Malaysia dalam melindungi tapak-tapak warisan tempatan.
"Secara tidak langsung, pengiktirafan ini juga akan meningkatkan keterlihatan Negara Malaysia di mata dunia sekali gus akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong," kata MOTAC.
Tambahnya, ia akan memberikan impak positif kepada industri pelancongan yang berdaya saing serta membuka pelbagai peluang ekonomi melalui industri-industri lain yang berkaitan.
Untuk rekod, sehingga kini, sejumlah 1,199 tapak dari seluruh dunia telah berjaya diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah 1972 Convention Concerning the Protection of the World Cultural and Natural Heritage.
Dengan pengiktirafan Tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah ini, Malaysia secara keseluruhannya telah berjaya menyenaraikan lima Tapak Warisan Dunia UNESCO termasuklah Taman Negara Gunung Mulu (2000), Taman Kinabalu (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka, Melaka dan
George Town (2008) dan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012).