Sudah ada Sarawak Coast Guard, tiada hasrat kembalikan 'Sarawak Rangers’-Abg Jo

KUCHING-- Tiada perancangan untuk menubuhkan semula pasukan ‘Sarawak Rangers’ di negeri ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Jelasnya, Sarawak kini sudah mempunyai pasukan Sarawak Coast Guard selain Pasukan Khas Veteran dan Rejimen Askar Wataniah.

"Kita sudah ada Sarawak Coast Guard, Pasukan Khas Veteran dan Wataniah, jadi tidak perlu kita tubuh semula Sarawak Rangers," katanya pada sidang media sempena Majlis Menaikkan Bendera Pertiwi di Dataran Ibu Pertiwi di sini, hari ini.

Pasukan ‘Sarawak Rangers’ merupakan pasukan yang ditubuhkan semasa era pemerintahaan Rajah Brooke iaitu semasa pemerintahan Rajah Kedua Sarawak, Charles Anthony Johnson Brooke yang berfungsi sebagai pasukan pertahanan di kubu yang dibina di beberapa lokasi strategik untuk mempertahankan Kuching.

Dan pada masa kini, tanggungjawab menjaga kedaulatan negara di bawah bidang kuasa Kementerian Pertahanan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kita hanya membantu kerajaan persekutuan dalam kadar yang kita mampu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai beberapa pihak yang mengesyorkan agar Kerajaan Sarawak mengembalikan Sarawak Rangers.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tahun lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai mencadangkan untuk merekrut pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membentuk semula Sarawak Ranger.

Inisiatif itu katanya, bukan sahaja meningkatkan misi kawalan keselamatan bahkan menjaga keamanan di sempadan serta menghentikan aktiviti menyalahi undang-undang rentas sempadan.

Mengenai Majlis Menaikkan Bendera Pertiwi di Dataran Ibu Pertiwi, Abang Johari berkata, upacara itu akan dilakukan pada Ahad minggu pertama setiap bulan.

Beliau memberitahu, upacara itu diadakan setiap bulan bagi menyediakan aktiviti yang menarik untuk pelancong yang datang ke negeri ini terutamanya pelawat di bandar raya ini.

"Ini akan sedikit memberi kesan positif dari sudut sektor pelancongan di bandar raya Kuching.

"Kita juga tahu dataran ini merupakan tempat tarikan baharu yang ada di Tebingan Kuching dan inilah proses kita untuk menaik taraf Kuching sebagai sebuah bandar raya bersih yang mampan dan lestari," katanya.
Next Post Previous Post