SSLR Fasa 1 capai 35 peratus, lima peratus dahului jadual
MIRI-- Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo memaklumkan Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 1 kini telah mencapai 35 peratus tahap kemajuan pelaksanaan.
Jelas beliau, projek itu melibatkan pembinaan jalan raya 76 kilometer (km) dari Lawas ke persimpangan Long Lopeng.
"Projek ini kini telah mencapai 35 peratus tahap kemajuan pelaksanaan yang mana kerja-kerja pembinaan projek ini mendahului lima peratus berbanding perancangan awal," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja Projek Trans Borneo Highway (Miri) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Aidel berkata projek itu dibina menggunakan peruntukan kerajaan persekutuan berjumlah RM1 bilion.
Justeru, beliau berharap kontraktor yang dilantik akan terus konsisten menyiapkan baki projek dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Bagi projek SSLR 2 pula katanya kerja-kerja awal di tapak telah bermula dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.
Menurutnya, projek tersebut akan melibatkan pembinaan jajaran baharu dan menaik taraf jalan sedia ada mengikut piawaian R3 sepanjang 322 kilometer yang akan menghubungkan lokasi-lokasi di Sarawak.
Katanya, antara lokasi terlibat adalah dari Lawas ke Limbang dan ke pekan Mulu tanpa melalui Brunei dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM7.2 bilion.
"Projek yang akan dilaksanakan melalui empat pakej ini akan berfungsi sebagai penghubung dan akses kepada masyarakat setempat.
"Ini sekali gus menggalakkan sektor pelancongan di kawasan terbabit," katanya.
Untuk rekod, Surat Setuju Terima (SST) untuk projek itu telah diserahkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kepada kontraktor utama pada 26 Mac 2024
Dalam pada itu Aidel juga diberi penerangan tentang 𝗽𝗿𝗼𝗷𝗲𝗸 𝗟𝗲𝗯𝘂𝗵𝗿𝗮𝘆𝗮 𝗣𝗮𝗻 𝗕𝗼𝗿𝗻𝗲𝗼 (𝗟𝗧𝗕).
Projek LTB merupakan sebuah projek menaik taraf jalan sedia ada dari Miri ke Limbang dan Lawas seterusnya ke Sabah melalui Negara Brunei Darussalam sepanjang 93.2 km.
Projek ini masih lagi dalam peringkat perancangan dan dijangka bermula pada tahun hadapan.
Projek LTB dibahagikan kepada 3 pakej melibatkan laluan dari Kuala Baram ke Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, Miri sepanjang 4.9 kilometer (km), dari ICQS Tedungan ke ICQS Pandaruan, Limbang (54.6km) dan dari pekan Lawas ke ICQS Merapok, Lawas (33.7km).
Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Jurutera MIPD Azhar Nubli, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Pelaksanaan Projek JKR Sarawak Ir Ts Bujang Kanang, Jurutera Bahagian Miri Ir Stephen Ung, dan pegawai-pegawai JKR Sarawak.