Sorok motosikal dicuri tepi sungai Kampung Barieng, remaja 13 tahun ditangkap
BAU-- Seorang remaja berusia 13 tahun ditangkap polis disyaki terlibat kes curi motosikal di Kampung Barieng di sini.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Jawai Francis Kempas berkata, remaja terbabit ditangkap sekitar jam 12 tengah hari pada Selasa.
"Polis turut merampas motosikal berserta anak kunci yang disembunyikan di tepi sungai
Kampung Barieng.
"Semakan mendapati bahawa motosikal tersebut adalah motosikal yang baru dilaporkan hilang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Jawai, sebelumnya, seorang lelaki tampil membuat laporan polis sekitar jam 1 petang pada Isnin, mengatakan motosikal yang diparkir di hadapan rumah di Kampung Barieng, Bau telah dicuri.
"Bertindak atas maklumat, polis telah membuat tangkapan terhadap suspek," katanya.
Tegasnya, suspek yang tidak memiliki rekod jenayah lampau telah disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda. DSP Jawai turut mengesahkan remaja terbabit positif dadah