Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar oleh sebuah bas pekerja di kawasan Batu 12 Jalan Pan-Borneo Bintulu-Miri awal pagi tadi.
BINTULU -- Seorang warga emas lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar oleh sebuah bas pekerja di kawasan Batu 12 Jalan Pan-Borneo Bintulu-Miri awal pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, mangsa yang dikenali sebagai Tang Ujum berusia 61 tahun disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan KKM yang berada di lokasi kejadian.
"Sepasukan anggota BBP Bintulu bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 7.07 pagi bagi menjalankan khidmas khas mengeluarkan badan mangsa dari bawah bas," ujarnya.
Menurutnya, sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya insiden yang melibatkan sebuah bas dan motosikal yang mana badan penunggang motosikal terperosok ke bahagian bawah bas.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan badan mangsa dari bawah bas dengan menggunakan peralatan khas.
"Sejurus berjaya dikeluarkan, mangsa diserahkan kepada KKM bagi tujuan pemeriksaan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," jelas beliau.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak menjalankan kerja-kerja semburan dan pembersihan di lokasi kejadian sebelum menamatkan operasi dan bertolak balik balik ke balai.