Sekolah usang: Guru, pelajar SMK Sebuyau terpaksa guna kanopi jalankan aktiviti

SEBUYAU-- Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau terpaksa menggunakan kanopi pasang siap bagi menjalankan pelbagai aktiviti memandangkan banyak bangunan dan dewan sekolah uzur dan tidak boleh digunakan lagi.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kanopi ini diperlukan oleh pihak sekolah untuk menempatkan pihak guru dan pelajar menjalankan pelbagai aktiviti memandangkan banyak bangunan dan dewan sekolah tidak boleh digunakan lagi.

"Pada Sabtu pagi, saya berkesempatan singgah di SMK Sebuyau untuk menyaksi dan memastikan kanopi pasang siap yang saya luluskan untuk kegunaan pihak sekolah sudah disiapkan sepenuhnya.

"Nampaknya ada lagi kerja-kerja yang perlu disiapkan oleh pembekal.

"Kanopi pasang siap ini amat diperlukan oleh pihak sekolah untuk menempatkan pihak guru dan pelajar menjalankan pelbagai aktiviti memandangkan banyak bangunan dan dewan sekolah tidak boleh digunakan lagi.

"Ruang di kanopi ini amat bermakna dan berguna sekali sementara menunggu pembinaan gantian penuh sekolah ini dapat dimula dan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Jelas Julaihi yang juga ADUN Sebuyau, SMK Sebuyau adalah di antara sekolah yang uzur di Sarawak dan menunggu untuk dibina di tapak baharu yang sudah lama disediakan di bandar baharu Sebuyau.

"Saya sudah banyak kali menyuarakan keadaan sekolah ini yang uzur," katanya sambil menambah sekolah itu masih menempatkan hampir seribu orang pelajar.

Katanya, beliau amat kasihan melihat guru dan pelajar terpaksa mengguna kemudahan yang sebegini berbanding dengan rakan-rakan mereka di sekolah lain yang mempunyai kemudahan yang jauh lebih sempurna.

"Tetapi matlamat tetap sama iaitu untuk berjaya dan mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki setiap tahun.

"Namun alhamdulillah keputusan SPM tahun lepas (2023) telah meningkat dan bertambah baik walaupun berada dalam keadaan serba kekurangan," ujarnya.

Hadir sama Pengetua SMK Sebuyau Awang Abas Awang Lawi dan penolong kanan SMK Sebuyau.

Pada pertemuan itu, Julaihi turut diberi taklimat tentang betapa besarnya makna ruang kanopi itu kepada pihak sekolah

Turut sama Pegawai Pusat Khidmat ADUN, Ahmad Ayup dan Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang.
Next Post Previous Post