Sarawak tidak korbankan alam sekitar walaupun laksana pelbagai pembangunan- Abang Johari
KUCHING-- Sarawak tidak akan mengorbankan alam sekitarnya meskipun rancak melaksanakan pelbagai pembangunan untuk pertumbuhan ekonomi hijau di negeri ini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau yang juga Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar menegaskan Sarawak komited terhadap usaha global dalam menangani perubahan iklim dan telah berjanji untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau untuk mencapai Sifar Bersih menjelang 2050.
Tambahnya, Sarawak juga berusaha untuk mencapai keseimbangan antara keperluan pembangunan dan menjaga sumber asli, alam sekitar serta kesejahteraan rakyatnya.
"Dalam Sarawak merancakkan pertumbuhan ekonomi, ia tidak akan mengorbankan alam sekitarnya bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus dijaga.
“Sarawak telah melaksanakan tindakan tegas dan merancang banyak strategi untuk menangani cabaran yang ditimbulkan oleh gas rumah hijau.
“Sumber semula jadi kita yang banyak dan pelbagai serta sistem sungai yang hebat adalah aset semula jadi kita untuk pembangunan ekonomi dan mengurangkan perubahan iklim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-30 Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, Jumaat malam.
Selain itu, untuk menjaga alam sekitar kata Abang Johari, Sarawak melaksanakan strategi untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau bagi mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Jelasnya, Sarawak telah menggubal Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pembebasan Gas Rumah Hijau), 2023 yang telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri pada 20 November 2023.
“Saya berbesar hati untuk memaklumkan bahawa Sarawak adalah yang pertama di Malaysia yang menggubal undang-undang sebegini berkaitan perubahan iklim dan pengurangan pelepasan gas rumah hijau di Malaysia,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau tidak menafikan dalam negeri ini membangun, ia dijangka menerima kesan terkumpul dan kompleks yang akan sedikit menjejaskan alam sekitar.
Oleh itu, beliau berharap NREB harus bersiap sedia dengan pelbagai cabaran yang semakin meningkat dalam pengurusan serta perlindungan alam sekitar selain isu perubaghan iklimnya.
"NREB sebagai agensi yang memudahkan pembangunan perlu bersedia untuk mengawal selia secara berkesan semua pembangunan ini dan menginovasi pendekatan pengurusan alam sekitar supaya kesan buruk terhadap alam sekitar dapat diminimumkan atau kejadian bencana yang berkaitan tidak akan berlaku.
“Dasar dan peraturan yang teguh adalah penting dan kekal sebagai tulang belakang usaha pengurusan alam sekitar kita," jelasnya.
Menurutnya lagi, rangka kerja undang-undang juga perlu diperkukuh untuk menyesuaikan diri dengan isu alam sekitar yang muncul dan akan memanfaatkan inovasi dan teknologi untuk menangani cabaran alam sekitar.
Katanya, NREB perlu mempunyai sumber dan kapasiti yang diperlukan untuk meningkatkan keupayaan penguatkuasaannya dan pemantauan alam sekitar.
"Pegawainya juga perlu dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan dalam penyelidikan dan pembangunan untuk memacu penyelesaian alam sekitar yang mampan,” ujarnya.