Sarawak tetap teruskan pemerolehan saham tambahan dalam Affin Bank

KUCHING-- Sarawak akan meneruskan perjanjian jual beli pemerolehan saham tambahan dalam Affin Bank setelah mendapat kelulusan kawal selia yang diperlukan, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Pada masa ini, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), pemegang saham terbesar dalam Affin Bank Berhad (Affin Bank) dengan 28.8 peratus kepentingan dan kerajaan Sarawak mahu meningkatkan pegangan ekuitinya kepada sekitar 30 peratus berbanding 4.8 peratus ketika ini. 

"Saya percaya Affin Bank boleh mempunyai akses kepada rangkaian di bawah Sarawak yang lebih luas di mana ia boleh bekerjasama dan memanfaatkan keupayaan perbankan pelaburan dan perbendaharaannya. 

"Affin Bank juga boleh mengembangkan kelayakan ESGnya serta meningkatkan inisiatif pembiayaan mampan di bawah Pelan Hala Tuju ESG lima tahunnya. 

"Sarawak mempunyai beberapa inisiatif hijau dalam perancangan dan saya percaya terdapat peluang untuk Affin Bank mengambil bahagian dan mengembangkan portfolio ESGnya," kata Abang Johari. 


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Auditorium Menara AFFIN di Kuala Lumpur hari ini.

Turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

MoU tersebut ditandatangani antara Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta yang lain. 

Dalam pada itu, Abang Johari yakin Affin Bank akan mengembangkan jangkauannya serta mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu pemain utama dalam industri kewangan. 


Selain itu, katanya, Affin Bank boleh menyokong pengusaha kecil dan sederhana (PKS) dengan menyediakan akses kepada pembiayaan yang berpatutan dan meningkatkan literasi kewangan melalui platform rangkaiannya. 

"Peluang untuk bekerjasama dengan Affin Bank adalah luas, antara lain dalam bidang mempromosikan pembayaran tanpa tunai dan penggunaan perbankan digital di Sarawak," tambah beliau.

Mengenai MoU itu, Abang Johari berkata ia adalah untuk kerajaan Sarawak dan LTAT meneroka potensi kerjasama dan perkongsian maklumat dan penyediaan sokongan antara satu sama lain. 

Jelasnya, kerjasama pertama hanyalah permulaan kepada kemungkinan dan peluang yang lebih besar serta mewujudkan platform bagi Sarawak untuk terus mengadakan kerjasama dengan LTAT. 

"Seperti yang kita ketahui, LTAT menguruskan Kumpulan Wang Simpanan yang mampan yang ditubuhkan pada Ogos 1972 dan saya difahamkan matlamat pelaburan LTAT adalah untuk menyediakan pertumbuhan jangka panjang mampan dalam simpanan persaraan ahlinya melalui pengumpulan dan pemeliharaan  dividen yang konsisten daripada modal. 


"Mereka mempunyai portfolio terpelbagai kukuh yang merangkumi pelbagai kelas aset dan sektor utama ekonomi yang termasuk perkhidmatan kewangan, hartanah, minyak dan gas, farmaseutikal, industri berat, perladangan, pembuatan, pembinaan, teknologi, pengguna dan produk perindustrian. 

"Kerjasama dengan LTAT memberikan peluang unik kepada Sarawak untuk meneroka potensi kerjasama khususnya dalam enam sektor utama iaitu pembuatan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan dan perkhidmatan," ujarnya. 

Premier Sarawak turut menegaskan bahawa kerjasama ini hanyalah permulaan kepada lebih banyak peluang dan kemungkinan pada masa hadapan.

"Marilah kita bersama-sama tidak gentar menghadapi rintangan yang menanti di hadapan kerana di dalam cabaran-cabaran ini terdapat potensi yang besar. 

"Saya berharap menerusi MoU ini, Sarawak dan LTAT akan terus meneroka potensi kerjasama," ujarnya.
Next Post Previous Post