Sarawak negeri di Malaysia miliki dua Tapak Warisan Dunia UNESCO

KUCHING-- Sarawak satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai dua Tapak Warisan Dunia UNESCO, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Jelasnya, dua tapak warisan dunia itu adalah Tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah yang baharu diiktiraf semalam dan Taman Negara Gunung Mulu (diiktiraf 2000).

Di Malaysia secara keseluruhannya telah berjaya menyenaraikan lima Tapak Warisan Dunia UNESCO termasuklah Taman Kinabalu (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka, Melaka dan George Town (2008) dan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012).

"Saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pasukan kita yang telah melengkapkan dokumen untuk Niah menjadi Tapak Warisan Dunia UNESCO.

"Maknanya Sarawak ada dua Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu satu di Mulu dan satu di Niah. Tidak pernah ada negeri yang ada dua Tapak Warisan Dunia UNESCO," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri upacara menaikkan bendera Sarawak, Ibu Pertiwi, di Dataran Ibu Pertiwi, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Abang Johari memberitahu, dengan pengiktirafan itu akan membantu meningkatkan ekonomi dan sektor pelancongan di negeri ini.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing memaklumkan Tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah, Sarawak secara rasmi disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Beliau memberitahu, keputusan pengiktirafan ini telah diumumkan pada jam 7.00 petang waktu tempatan ketika sesi Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-46 yang berlangsung pada 21 hingga 31 Julai 2024 di New Delhi, India. 

Jelasnya, pengiktirafan berprestij ini telah diputuskan oleh 21 ahli Negara Anggota World Heritage Committee yang dipengerusikan oleh wakil Negara India.

"Dengan sukacitanya saya berkongsi berita menarik mengenai Taman Negara Niah yang kini secara rasmi diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-46 hari ini.

"Dengan ini, kami benar-benar percaya ia sudah pasti akan menarik sebilangan besar pengembara yang menghargai warisan budaya dan tidak sabar untuk menyaksikan mural prasejarah dan keajaiban alam semula jadi yang mengagumkan. 

"Ini akan meningkatkan lagi industri pelancongan Sarawak, menyuntik semangat ke dalam ekonomi tempatan dan memberi manfaat kepada rakyat kita," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Next Post Previous Post