Sarawak menggesa KKDW ambil serius laporan audit

KUCHING-- Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi menggesa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi perhatian serius terhadap Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2024 Siri 2 berhubung isu kelewatan pelaksanaan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sarawak.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kementeriannya menyarankan agar peruntukan projek BALB di bawah KKDW disalurkan terus kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana dengan mengguna pakai tatacara dan prosedur pelaksanaan projek kerajaan Sarawak.

"Ini bagi mengurangkan karenah birokrasi dan prosedur yang panjang sekaligus dapat mempercepatkan pelaksanaan projek agar rakyat Sarawak dapat menikmati bekalan air seperti yang telah dirancang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2024 Siri 2 semalam yang mengatakan sebanyak 12 projek bekalan air di Sarawak dan 24 projek di Sabah melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM1.6 bilion tertangguh sehingga tujuh tahun meskipun telah mendapat kelulusan antara 2016 dan 2018.

"Projek ini di bawah KKDW yang bernilai RM1.6 bilion, iaitu 12 projek di Sarawak bernilai RM888.32 juta dan 24 projek di Sabah bernilai RM758.85 juta," kata LKAN.

Kata laporan itu, keadaan itu menyebabkan gangguan bekalan air di Sarawak dan Sabah yang tidak ditangani dengan baik sekali gus menyebabkan penduduk luar bandar di dua negeri tersebut, masih tidak dapat menikmati bekalan air bersih dan terawat.

Mengulas lanjut, Julaihi menggesa kerajaan persekutuan mempercepatkan pelaksanaan projek BALB di Sarawak.

Malah, beliau memberitahu isu kelewatan pelaksanaan projek BALB biayaan kerajaan persekutuan melalui KKDW pernah beliau bangkitkan dan jelaskan beberapa kali semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada November 2023 dan Mei 2024 lepas. 

Ujar beliau lagi, kelewatan ini telah menyebabkan projek yang dirancang tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak. 

"Ini seterusnya juga telah memberi kesan kepada rakyat Sarawak yang lama menunggu bekalan air di kawasan masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Julaihi memberitahu, Laporan Ketua Audit Negara tersebut adalah salah satu laporan audit yang merujuk kepada pengurusan projek BALB biayaan kerajaan persekutuan melalui KKDW. 

"Untuk makluman, kesemua proses pra-kontrak yang merangkumi urusan pelantikan perunding, Makmal Pengurusan Nilai (Value Management Lab), pelawaan tender, penilaian tender, penganugerahan kontrak dan pelantikan kontraktor adalah diuruskan sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan melalui KKDW. 

"Walau bagaimanapun, banyak projek lewat dilaksanakan kerana karenah birokrasi dan prosedur yang panjang," tegasnya.

Katanya lagi, sebagai contoh, sebanyak 12 projek BALB yang diluluskan antara tahun 2016 hingga 2018 mengambil masa yang agak lama dan pembinaan masih belum bermula seperti yang telah dilaporkan dalam laporan audit tersebut.

"Ingin saya tekankan di sini, proses pra-kontrak seperti yang dinyatakan tadi dikendalikan sepenuhnya oleh KKDW dan JBALB Sarawak hanya terlibat dalam pengawasan projek tersebut,” jelasnya.
Next Post Previous Post