Sarawak hadapi ancaman vandalisme kemudahan utiliti dan telekomunikasi

KUCHING-- Jawatankuasa khas pencegahan vansalisme diwujudkan bagi menangani isu vandalisme melibatkan kemudahan utiliti dan telekomunikasi di Sarawak yang semakin membimbangkan, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi.

Beliau menjelaskan, kementeriannya mengambil inisiatif mewujudkan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatakuasa Kerja Anti Vandalisme di peringkat negeri Sarawak.

"Bagi menangani isu-isu vandalisme ini dengan lebih berkesan, Kementerian saya telah mengambil inisiatif mewujudkan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatakuasa Kerja Anti Vandalisme di peringkat negeri Sarawak.

"Jawatankuasa Pemandu adalah dipengerusikan oleh saya sendiri dan keahliannya terdiri daripada Peguam Besar Negeri, Unit Keselamatan dan Pengutkuasaan Negeri Sarawak (UPKNS), Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG), Sarawak Multimedia Authority (SMA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan agensi-agensi lain yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kempen Pencegahan Vansalisme Terhadap Kemudahan Utiliti dan Telekomunikasi di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Mengulas lanjut, Julaihi berkata, objektif penubuhan jawatankuasa ini antara lain adalah untuk merancang strategi dan program seperti Penguatkuasaan, Program Kesedaran bagi mengekang serta mengurangkan jenayah vandalisme.


"Kita akan melaksanakan lebih banyak program bagi meningkatkan kesedaran (awareness) bagi memupuk budaya masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab menghargai aset-aset utiliti dan telekomunikasi," katanya.

Tambahnya, kemudahan utiliti dan infrastruktur telekomunikasi tidak terkecuali daripada menghadapi ancaman vandalisme dan ia tidak boleh dipandang ringan kerana boleh mendatangkan kesusahan kepada orang awam dan merugikan kerajaan, malah ianya juga membahayakan keselamatan diri si pelaku seperti risiko renjatan elektrik.

"Masalah vandalisme ini menyebabkan kerajaan menanggung kos yang besar terutamanya dalam kos penggantian peralatan yang telah dirosakkan. 

"Antara aset dan peralatan utiliti yang sering menjadi sasaran pelaku jenayah vandalisme adalah bekalan air – peralatan di loji bekalan air, meter air dan pili air; bekalan elektrik - transformer, kabel, lampu jalan (street lighting),
nat dan bolt, rod dan kabel pembumi (earthing rod and cable); telekomunikasi - broadcast station di menara telekomunikasi, bateri,
dan kabel; dan lain-lain peralatan yang berasaskan besi, tembaga dan aluminium.

"Selain daripada itu, baik pulih dan pengantian aset ini juga mengambil masa yang lama dan mengakibatkan gangguan perkhidmatan kepada pengguna," tegasnya.

Jelas Julaihi, sebagai contoh gangguan bekalan elektrik akan memberi kesan berantai, perkhidmatan telekomunikasi dan air yang bergantung kepada bekalan elektrik untuk berfungsi akan turut terjejas.

"Apa yang lebih menyedihkan, terdapat tiang lampu dan menara telekomunikasi yang baru disiapkan dan sedia untuk beroperasi tetapi
malangnya peralatan menara tersebut telah dirosakkan dan dicuri. 

"Ini telah memusnahkan harapan orang awam untuk menikmati kemudahan bekalan elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi tersebut," ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pada 2023, kes vandalisme terhadap kemudahan infrastruktur utiliti dan telekomunikasi telah mencecah 1,406 kes yang melibatkan anggaran nilai kerugian sebanyak RM20 juta. 

"Berdasarkan rekod daripada PDRM dan agensi-agensi, berkenaan kes dan nilai kerugian adalah pertama sektor telekomunikasi merekodkan sebanyak 1,079 kes vandalisme dengan anggaran kerugian sebanyak RM15.8 juta; sektor bekalan elektrik merekodkan sebanyak 266 kes dengan anggaran kerugian sebanyak RM3.6 juta; sektor bekalan air sebanyak 57 kes dengan anggaran kerugian RM244,000.00; dan sektor pengedaran gas sebanyak 4 kes dengan anggaran kerugian sebanyak RM30,500," dedahnya lagi.


Justeru, beliau menegaskan salah satu langkah pencegahan terbaik dalam mengawal jenayah vandalisme dan juga kegiatan peniaga barangan terpakai di Sarawak adalah melalui penguatkuasaan Akta Peniaga Sekenhend, 1946 oleh PDRM yang boleh dijalankan dengan kerjasama agensiagensi berkaitan seperti melalui ‘Operasi Lusuh’ yang dilaksanakan oleh pihak PDRM.

Selain itu, katanyna, aktiviti pemantauan dan operasi pemeriksaan berterusan oleh agensi-agensi penguatkuasa ke atas premis-premis barangan terpakai adalah penting dalam memerangi jenayah vandalisme ini terutamanya yang melibatkan kemudahan utiliti dan infrastruktur telekomunikasi. 

Pada masa sama, kata Julaihi, kementeriannya turut mempergiatkan program kesedaran vandalisme di peringkat sekolah.

"Saya berharap usaha yang dijalankan oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi mendapat kerjasama dan sokongan dari semua masyarakat, pihak-pihak yang berkepentingan dan agensi-agensi yang
berkaitan dalam menjayakan Program anti-vandalisme seperti yang kita rancang," ujarnya.
Next Post Previous Post