Sarawak dikhuatiri jadi hab pengedaran dadah di Borneo, lebih 150kg dadah dirampas setakat Julai

KUCHING-- Sarawak dikhuatiri dijadikan hab pengedaran dadah di Borneo susulan tangkapan dan rampasan dalam jumlah yang besar yang direkodkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak tahun ini.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak Norizan Yahya berkata, rampasan terkini berjumlah 60.67 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM1.9 juta.

"Sebanyak 10 kotak kiriman kargo udara yang mencurigakan dirampas dalam serbuan di perkarangan sebuah syarikat kargo pada jam 3.50 petang, Khamis lalu.

"Pemeriksaan lanjut terhadap 10 kotak itu membawa kepada penemuan 60 paket bercetak 'Guan Yi Wang' yang mengandungi serbuk kristal dadah jenis syabu atau methamphetamine.

"Ini antara rampasan terbesar dan kita khuatir Sarawak dijadikan hab pengedaran dadah di Borneo kerana beberapa rampasan dadah melibatkan jumlah yang besar iaitu 60.67 kg dalam rampasan kali ini manakala di Miri pada 27 Jun lalu seberat 49.318 kg dan 6 Mac lepas di Matang, Kuching sebanyak 46 kg," katanya pada sidang media di ibu pejabat JKDM Sarawak, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Jelas Norizan, sindiket dipercayai menjadikan Sarawak sebagai hab pengedaran dadah Borneo berikutan banyak kes penyeludupan dari Semenanjung dikesan tertumpu di destinasi di negeri ini.

Tambahnya, beliau tidak menolak kemungkinan rangkaian sindiket pengedaran dadah itu mempunyai kaitan berikutan modus operandi yang sama.

Dedah beliau, sindiket menggunakan khidmat penghantaran kargo udara antara wilayah dari Kuala Lumpur ke Kuching dengan membuat pengiktirafan tidak benar pada Borang Kastam No.3 iaitu menyembunyikan bahan narkotik bersama barangan keperluan rumah.


Berdasarkan modus operandi, katanya ada kemungkinan pengedaran dadah ke Sarawak adalah dalam rangkaian yang sama dan pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai perkara itu.

"Dadah ini dipercayai diperoleh dari negara lain sebelum dibawa ke Semenanjung seterusnya diterbangkan ke Sarawak menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Setibanya di Sarawak sama ada Kuching, Sibu, Bintulu atau Miri, dadah berkenaan akan diseludup pula ke negara jiran, Indonesia," jelasnya.

Mengulas lanjut rampasan terbaharu itu, beliau berkata, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an berjaya ditangkap dan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tambahnya, turut dirampas sebuah lori yang digunakan bagi mengangkut dadah terbabit dan kini kenderaan itu disita mengikut Seksyen 30(1) ADB 1952.

Justeru, beliau turut menggesa orang ramai supaya membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan serta barangan lain dengan menyalurkan maklumat menerusi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau terus ke pejabat JKDM terdekat.

Katanya lagi, JKDM memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.
Next Post Previous Post