KK, Penampang dilanda bah
KOTA KINABALU-- Beberapa kawasan rendah di Kota Kinabalu dan
daerah Penampang dilanda bah susulan hujan lebat yang berterusan semalam.
Akibat itu, beberapa jalan dilaporkan ditenggelami banjir
berikutan hujan lebat yang bermula kira-kira tengah hari semalam.
Malah, bekalan elektrik juga terputus di kawasan yang
terjejas akibat banjir yang mana air mula naik kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Keadaan banjir ditambah buruk apabila bertembung pula dengan
fenomena air pasang kira-kira pada jam 4 petang.
Sementara itu, ramai mangsa yang terjejas turut memuat naik
video keadaan banjir di kawasan mereka di media sosial.
Dalam salah satu video, sebuah kereta dilihat diseret air
banjir berwarna coklat, dipercayai berada di sebuah kompleks pangsapuri di
Penampang.
Penduduk Penampang, Lester Dominic Mojiliu berkata, dia
tidak dapat pulang ke rumahnya di Kampung Tanaki kerana laluan itu tidak boleh
dilalui walaupun untuk kenderaan pacuan empat roda.
"Saya diberitahu oleh ahli keluarga dan rakan-rakan
bahawa banyak tempat di Penampang dinaiki air.
“Saya juga mendengar daripada seorang rakan bahawa isterinya
menghubunginya apabila kereta yang dinaikinya tiba-tiba terhenti ketika dia
memutuskan untuk memandu melalui banjir.
"Dia bersama anak-anak mereka tetapi mujurlah suami
berjaya datang dengan cepat dan mengeluarkan mereka daripada keadaan itu (yang
mana keadaan di situ) arusnya agak kuat ketika itu," katanya.
Doktor haiwan Dr Randolf Paza berkata kawasannya di
Limbanak, Penampang turut dinaiki air sepenuhnya, manakala bekalan elektrik
turut terputus.
Tambahnya, dia telah pergi ke pusat perlindungan sementara
banjir di Dewan Kebudayaan bersama keluarganya, menyelamatkan semua yang mereka
mampu.
"Saya harap keadaan menjadi lebih baik tidak lama lagi
dan tidak bertambah buruk," katanya sambil menambah ini adalah salah satu
banjir terburuk yang pernah dialaminya.
Pengendali Shelter of Hope, Adrienne Godfrey Johniu, telah
mula membawa kucing dan anjing yang dilindungnya ke bahagian lebih tinggi di
rumahnya apabila banjir melanda.
“Buat masa ini, air banjir hampir di depan pintu rumah kami.
Tolong, saya harap ia tidak akan hujan lagi,” katanya.
Willie Jude yang tinggal di Inanam berkata, kawasannya turut
mengalami gangguan bekalan air bermula jam 4 petang.
“Jalan utama kami Jalan Kionsom tidak boleh dilalui semua
kenderaan pada pukul 5 petang,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB)
dalam kenyataan berkata pihaknya telah menutup bekalan elektrik di semua
kawasan banjir terutama di Penampang.
Manakala sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana
Penampang dalam kenyataan memaklumkan beberapa kampung di daerah itu tidak
dapat diakses akibat banjir.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut menilai Kampung Kolopis
dan Sugud di Penampang tidak boleh dilalui sepenuhnya oleh semua kenderaan.
Pelbagai agensi terlibat dalam usaha menyelamat mangsa banjir serta memastikan keselamatan orang ramai termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, tentera dan APM manakala Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah telah diaktifkan.
Notis dikeluarkan oleh pegawai daerah Penampang Francis
Chong pada 7.25 malam, mengisytiharkan daerah itu sebagai kawasan bencana.