Ratusan mat rempit diperiksa, enam remaja ditangkap buat aksi bahaya

KUCHING-- "Aksi permotoran" di Jalan Tun Abdul Rahman di sini terbantut selepas diserbu polis yang menyaksikan enam remaja ditangkap, 384 saman dikeluarkan dan 365 motosikal diperiksa dalam Op Samseng Jalanan tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching itu dijalankan sekitar jam 12.30 malam melibatkan enam pegawai dan 36 anggota. 


"Dalam operasi ini sebanyak 365 buah motosikal telah diperiksa dan sebanyak 384 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.

"Antara kesalahan dilakukan seperti ubahsuai struktur dan ekzos 69 keping, tidak ada cermin sisi 52 keping, nombor plet tidak mengikut peraturan 59 keping, tidak memiliki lesen memandu 34 keping, cukai jalan tamat tempoh 36 keping," katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambahnya lagi, sebanyak 53 motosikal disita di bawah Seksyen 60 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1978 atas pelbagai kesalahan ubahsuai.

"Seramai enam remaja tempatan berumur dalam lingkungan 15 sehingga 18 tahun telah ditangkap kerana melakukan aksi yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain. 


"Kes disiasat di bawah seksyen 42 (1) 
Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM15,000," tegasnya.

Mengulas lanjut, Ahsmon memberitahu bermula Januari sehingga Jun 2024, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching telah menjalankan sebanyak lapan Op Samseng Jalanan dan lima tangkapan. 


Katanya, hasil saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek adalah negatif.

Sehubungan itu, beliau berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching mengalu-alukan sebarang maklumat dari orang awam berkaitan aktiviti samseng jalanan dan boleh disalurkan ditalian 082-259900 atau di balai-balai polis berdekatan.
Next Post Previous Post