Pukul kereta lalu guna kayu, lelaki kini diburu polis

KOTA SAMARAHAN-- Polis kini sedang giat mengesan seorang lelaki yang melakukan perbuatan khianat terhadap kenderaan awam yang melalui di jalan hadapan Bucida Resident di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Jaimi Husin berkata, pihaknya terkesan satu hantaran yang dimuatnaik di halaman Facebook yang memaparkan satu kejadian di mana seorang suspek telah memukul kenderaan dengan menggunakan kayu semasa melalui jalan di hadapan Bucida Resident Kota Samarahan.


"Polis turut mengesahkan telah menerima satu laporan polis pada 19 Julai 2024 jam lebih kurang 3.49 petang daripada seorang wanita tempatan yang menjadi mangsa kejadian.

"Mangsa semasa memandu kereta Honda HRV miliknya melalui jalan raya tersebut dengan secara tiba-tiba telah dipukul oleh suspek yang disyaki kurang siuman dengan menggunakan kayu menyebabkan berlakunya kerosakan lampu belakang di bahagian kiri telah pecah. 


"Akibat kejadian ini, pengadu mengalami kerugian dianggarkan rm 1,200," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, satu kertas siasatan telah dibuka yang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat merosakkan harta benda yang mana jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya.


Tambah Jaimi, bertindak di atas aduan tersebut, pihak polis IPD Kota Samarahan sedang giat mengesan suspek untuk tindakan siasatan selanjutnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai yang telah menjadi mangsa atau saksi yang melihat kejadian agar tampil di mana-mana balai polis berhampiran untuk memberi kerjasama membantu siasatan polis atau hubungi Pengawai Penyiasat kes Inspektor Mohammad Adri di talian 014-8651605.
Next Post Previous Post