Petronas umum "Lapangan Jerun" di Sarawak berkapasiti 550 juta kaki padu standard setiap hari keluarkan hasil pertama gas, Abang Jo tegas terus menjaga Hak Sarawak

KUCHING-- Perut bumi Sarawak masih mengandungi kekayaan sumber minyak dan gasnya dan ini terbukti dengan pengumuman Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) hari ini berhubung pengeluaran gas pertama dari Lapangan Jerun, negeri ini.

Terletak di Blok SK 408, kira-kira 160 kilometer dari pantai Sarawak, luar pesisir Malaysia, blok tersebut dikendali, Sapura OMV Upstream (Sarawak) Inc yang memegang 40 peratus kepentingan.


Manakala baki 60 peratus dikongsi bersama Petronas Carigali Sdn Bhd dan Sarawak Shell Bhd.

“Lapangan Jerun ditemukan buat pertama kali pada 2015 oleh Sapura OMV, diikuti penerokaan dan penggalian sembilan telaga di lapangan itu dari 2014 hingga 2015," kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.


Jelas PETRONAS, ia mampu menghasilkan sehingga 550 juta kaki padu standard setiap hari.

"Projek ini bersedia untuk menangani permintaan tenaga global yang semakin meningkat,” katanya.


Sementara itu, Naib Presiden Kanan Petronas pengurusan petroleum Malaysia Datuk Bacho Pilong mendedahkan projek itu menjanjikan sumbangan besar bekalan gas Malaysia untuk jangka panjang.

Tegasnya, sokongan dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi daripada kerajaan Sarawak dan pihak berkuasa tempatan telah memainkan peranan penting dalam menjayakan projek berkenaan.


Premier ulangi kenyataan Sarawak cuma jaga hak sendiri, tidak rampas perniagaan Petronas

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Johari Tun Openg mengulangi kenyataan bahawa Sarawak cuma menjaga hak sendiri mengikut lunas undang-undang tanpa merampas perniagaan PETRONAS dalam pembangunan industri minyak dan gas.


Beliau menjelaskan, lima undang-undang yang menjadi panduan Sarawak ialah Kanun Tanah Negeri, Ordinan Perlombongan Minyak 1958, Ordinan Pengedaran Gas, Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Mereka (PETROS dan PETRONAS) menjadi rakan kerjasama dalam industri minyak dan gas di mana PETROS dan PETRONAS berkerjasama walaupun di bawah undang-undang ada perkara-perkara yang akan main peranan penting oleh PETROS tetapi ia bekerjasama dengan PETRONAS.


"Jadi, lima undang-undang yang memudahkan kita (dalam perkara ini) dan dalam bidang kuasa Sarawak.

"Jadi kita bekerjasama ini adalah dalam lingkungan undang-undang, inilah di mana kita mempunyai beberapa hak dalam undang-undang tersebut," katanya.


Beliau berkata demikian semasa pada Majlis Penghargaan Vendor Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Sarawak 2024 anjuran PETRONAS di sebuah hotel pada 1 Julai lalu.

Untuk meneroka potensi minyak dan gas, Abang Johari berkata PETROS dan PETRONAS juga bekerjasama dalam lingkungan undang-undang sedia ada.


Tambahnya, PETROS bekerjasama dengan PETRONAS demi kepentingan bersama.

"Saya ingin menjelaskan, Sarawak tidak mengambil hak orang lain dan tidak melanggar semangat kolaboratif dengan PETRONAS. 

"Sejak saya menjadi Ketua Menteri (kini Premier), apa yang kita lakukan adalah berdasarkan lima undang-undang tersebut," tegasnya lagi.


Sebelum ini, pada Majlis Ngabang Gawai Dayak Bahagian Betong 2024 di Dewan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, Betong Abang Johari menafikan tuduhan yang mendakwa Sarawak "membolot" industri gas dan minyak seperti yang dilemparkan sebuah portal berita baru-baru ini.

Tegasnya, sebaliknya kerajaan persekutuan cuma mengembalikan hak Sarawak mengikut MA63.


Tambahnya lagi, mengikut peruntukan dalam Perlembagaan iaitu Jadual 9 Bahagian 5, Sarawak menggunakan haknya untuk mencari pendapatan menerusi pelaksanaan cukai jualan.

"Undang-undang telah kita luluskan, kita sudah ada kuasa menguruskan gas. Pengedaran gas di Sarawak kini diuruskan oleh PETROS bukan lagi PETRONAS.


"Orang mula mengatakan tidak lama lagi Sarawak hendak menguasai semua hal berkaitan minyak. Bukan saya mengambil hak Petronas, saya tidak mengambil hak PDA (Akta Pembangunan Petroleum), pengagihan gas itu, kita sudah ada undang-undang sebelum penubuhan Malaysia lagi kerana di Miri sebelum ini sudah ada gas paip ke rumah. 

"Maknanya, kita sudah pun ada undang-undang," katanya.

Sementara itu, Pengasas PETRONAS Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan bahawa PETRONAS ditubuhkan antaranya atas kehendak rakyat Sarawak sendiri bagi menguruskan kegiatan industri petroleum termasuk di negeri itu.

Tengku Razaleigh, atau mesra disapa Ku Li, berkata demikian di tengah langkah PETROS yang akan mengambil alih peranan PETRONAS dalam semua kegiatan jual beli gas asli di negeri itu.

“Ini perkara amat kontroversi kerana seolah-olah Sarawak tak mahu kita teruskan pengurusan minyak...Tetapi tidak dapat tidak, kita semua perlu rujuk kepada sejarah.

“Penubuhan Petronas adalah atas kehendak orang Sawarak sendiri kerana bekas ketua menteri dan bekas yang di-pertua negeri) Allahyarham Tun Rahman Ya’kub yang mencadangkan supaya Petronas tidak dimiliki oleh sesiapa, sebaliknya dimiliki oleh rakyat Malaysia," katanya ketika sesi soal jawab di majlis pelancaran buku bertajuk Ku Li: Memoir 205 di Kuala Lumpur pada Mei lalu

Ku Li berkata demikian ketika mengulas pengambilalihan peranan Petronas oleh Petros dalam semua kegiatan jual beli gas asli di Sarawak.

Mengulas lanjut, Ku Li berkata selepas tertubuhnya PETRONAS di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974, rundingan pun dibuat dengan British dan syarikat Shell berhubung minyak dan gas di negara ini.

“(Ketika itu) kita yakin pemilikan minyak akan menguntungkan negara. Kita tak fikir siapa dan mana negeri (yang terlibat) kerana kita sudah ada satu perjanjian sesama kita, bersama rakyat Malaysia apabila lulusnya Akta Kemajuan Petroleum di Parlimen dan sesudah negeri-negeri dirundingi dan mereka memberikan hak minyak dan gas di bawah akta itu.

"Oleh sebab itu, mana-mana negeri yang ada minyak atau dapat hasil minyak daripada kawasan berhampiran dibayar lima peratus (royalti) berdasarkan keuntungan yang diperolehi," katanya lagi.
Next Post Previous Post