Pelabuhan Bintulu kembali kepada Sarawak, tiga jawatankuasa ditubuh perhalusi pengambilalihan

KUCHING-- Tiga jawatankuasa ditubuhkan untuk memperhalusi pengambilalihan Pelabuhan Bintulu oleh kerajaan Sarawak susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 dan Rang Undang-Undang Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu Menjadi Suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, tiga jawatankuasa itu adalah Jawatankuasa Teknikal Peringkat Pegawai, Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Khas. 

"Ketiga-tiga jawatankuasa ini akan memperhalusi perkara-perkara berkaitan sumber manusia, aset-aset dan kewangan sebelum ia diwartakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadillah yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, tarikh kuat kuasa akan ditentukan oleh Menteri Pengangkutan melalui pemberitahuan dalam warta. 

Jelasnya, penentuan tarikh kuat kuasa akan ditetapkan setelah segala penelitian, perbincangan dan rundingan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak berkaitan perundangan, operasi pelabuhan, kewangan dan sumber manusia mendapat persetujuan daripada kedua-duak pihak. 

"Semua ini dijangka dapat dimuktamadkan dalam tahun 2024 ini," ujarnya.

Berikutan kelulusan RUU itu, Fadillah mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar permintaan kerajaan Sarawak.

"Terima kasih YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI kerana mendengar permintaan kerajaan Sarawak untuk membawa RUU Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 dan RUU Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu Menjadi Suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 ke Dewan Rakyat, yang telah pun diluluskan pada hari ini.

"Terima kasih juga kepada Menteri Pengangkutan dan di atas sokongan yang telah diberikan oleh Ahli-Ahli Parlimen yang telah meluluskan Rang Undang-Undang berkenaan.

"Ini selaras dengan Perjanjian Malaysia (MA63) dan juga Ordinan Lembaga-Lembaga Pelabuhan 1961 bahawa semua pelabuhan di Sarawak adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak," katanya lagi.
Next Post Previous Post