Padah tertarik iklan pelaburan di Facebook, jurutera rugi setengah juta
KUCHING-- Seorang jurutera di sini mengalami kerugian RM500,000 selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata.
Jelasnya, kes yang melibatkan lelaki berusia 70-an itu dilaporkan semalam.
"Menurut mangsa pada 19 April 2024, semasa berada di rumahnya di daerah Sibu telah melihat satu iklan pelaburan (stock market investment ipo) dalam Facebook.
"Mangsa yang berminat dengan pelaburan tersebut telah berurusan melalui Whatsapp dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai "Tan Teng Boo.
"Suspek kemudian meminta mangsa untuk membuat transaksi pembayaran bagi tujuan pelaburan dan kemudian kononnya mangsa akan mendapat pulangan keuntungan berlipat ganda," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Mancha lagi, mangsa yang tertarik dengan tawaran itu telah melakukan dua kali transaksi pembayaran bagi tujuan pelaburan, keseluruhannya berjumlah lebih kurang RM500,000 melalui pemindahan wang ke satu akaun bank suspek sekitar Mei lalu.
Tambahnya, mangsa sedar dirinya telah ditipu setelah tidak mendapat pulangan dari pelaburan tersebut serta diugut untuk membuat pembayaran tambahan.
Akibat itu, jelasnya mangsa mengalami kerugian RM500,000.