Padah jual RON95 kepada kenderaan asing, pengusaha stesen minyak di Sungai Bakap berdepan penalti RM1 juta

KUCHING-- Padah menjual petrol bersubsidi RON 95 kepada kenderaan warga asing, seorang pengusaha stesen minyak di Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang berdepan penalti sehingga RM1 juta.

Kejadian itu menjadi perhatian umum apabila gambar tular di media sosial.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan, berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ).

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti, bagi individu iaitu denda tidak melebihi RM1 juta ringgit atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Manakala bagi perbadanan atau syarikat didenda tidak melebihi RM2 juta ringgit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut kejadian itu, beliau berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai gambar tular terbabit.

Berdasarkan pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) S Jegan berkata didapati premis itu membenarkan sebuah kenderaan asing mengisi minyak petrol bersubsidi pada jam 2.24 petang pada Sabtu (20 Julai 2024).

"Kita mengambil maklum insiden membabitkan sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran negara jiran yang mengisi petrol bersubsidi RON95 di sebuah stesen berhampiran hentian rehat Sungai Bakap," jelasnya.

Tambahnya, berdasarkan aduan yang turut tular, kenderaan dengan nombor pendaftaran Thailand itu mengisi petrol bersubsidi menggunakan nozel berwarna kuning disyaki RON95.

Susulan itu, beliau memberitahu tindakan penyitaan dilakukan terhadap beberapa dokumen yang berkaitan bagi membantu siasatan lanjut

Justeru, beliau menegaskan KPDN akan menjalankan pemantauan lebih agresif terhadap semua stesen minyak terutama yang berdekatan sempadan bagi mengelakkan ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.
Next Post Previous Post