Op Samseng Jalanan di Sri Aman: 11 motosikal ditahan, 37 saman dikeluar

SRI AMAN-- Sebelas motosikal ditahan dan 37 saman dikeluarkan semasa Op Motosikal (Samseng Jalanan) yang dijalankan di sekitar Bandar Simanggang dan Jalan Sri Aman/Sarikei/Kuching.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mathew Manggie berkata, sebelas motosikal ditahan di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas pelbagai kesalahan.

"Operasi ini dijalankan bermula jam 10 malam tadi hingga 3 pagi tadi yang diketuai Ketua Operasi Inspektor Leston Norman Sempurai bersama 11 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman.

"Sebanyak 20 kenderaan dan 25 orang (lelaki) telah diperiksa dan 37 keping saman telah dikeluarkan sepanjang operasi ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut saman itu, katanya, enam kesalahan tiada nombor pendaftaran, tujuh ubah suai ekzos, enam ubah suai struktur kelengkapan, sembilan tiada cermin sisi, dua tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM), enam tiada lesen memandu dan satu kesalahan tidak pamer "P".
Next Post Previous Post