Miliki rekod lampau berkaitan dadah, dua lelaki leka curi kabel dicekup polis

KUCHING-- Dua lelaki yang sedang leka mencuri kabel di pencawang telekomunikasi di Jalan Kampung Suba Buan, di sini, diberkas polis awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Jawai Francis berkata, kedua suspek berusia 27 dan 36 tahun ditangkap sekitar jam 1.30 pagi oleh sepasukan polis IPD Bau yang sedang membuat rondaan Op Lusuh.


"Pasukan rondaan telah terserempak dengan sebuah kereta jenis perodua Viva warna putih yang sedang parkir di laluan masuk pencawang telekomunikasi Jalan Kampung Suba Buan dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar mendapati dua lelaki berada dalam pencawang terbabit dan telah menangkap kedua-dua suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambah Jawai, pihak polis turut menjumpai segulung kabel yang telah dipotong beserta peralatan dipercayai digunakan untuk memotong kabel. 

Jelasnya lagi, tangkapan dan rampasan telah dibawa balik ke IPD Bau untuk tindakan lanjut.

"Semakan rekod jenayah lampau ke atas kedua-dua suspek mendapati suspek pernah terlibat kesalahan penyalahgunaan dadah.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman dipenjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda," tegasnya.

Menurutnya, permohonan reman telah dibuat di Mahkamah Majistret Bau dan diluluskan selama empat hari bagi membantu siasatan dan mengenal pasti penglibatan kedua-dua suspek di dalam lain-lain kes curi.

Next Post Previous Post