Merusuh di pasar malam Sibu: Tiga termasuk lelaki Indonesia ditangkap

SIBU-- Tiga individu terlibat dalam kejadia merusuh di pasar malam Jalan Cross di sini malam tadi ditangkap.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, ketiga-tiga suspek berusia 31 hingga 35 tahun ditangkap pada hari yang sama.

"Pada jam 8.46 malam tadi, polis telah menerima satu laporan mengenai kejadian merusuh melibat beberapa individu di pasar malam, Jalan Cross, Sibu. 

"Punca kejadian apabila suspek dalam keadaan mabuk telah membuat kacau dan merosakkan gerai peniaga di tempat kejadian. 

"Beberapa individu yang berada di tempat kejadian bertindak memukul suspek menyebabkan suspek mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, katanya, bertindak atas maklumat polis dari Unit Rondaan
Bermotosikal (URB), Bahagian Pencegahan Jenayah Keselamatan dan Komuniti, IPD Sibu telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warga negara indonesia berumur 31 tahun yang terlibat dalam kejadian ini. 

"Manakala tangkapan ke atas dua lelaki tempatan berumur 31 dan 35 tahun telah dibuat oleh Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Sibu," jelasnya.

Kata Zulkipli lagi, semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai
rekod jenayah lampau. 

Menurutnya, permohonan reman ke atas kesemua suspek akan dibuat untuk siasatan lanjut.

"Pihak polis masih berusaha untuk mengesan suspek yang masih bebas. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427/147 Kanun Keseksaan kerana khianat pada
harta benda dan merusuh di tempat awam. 

"Hukuman bagi kesalahan ini, penjara boleh sampai dua tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya," tegasnya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis, dan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini disarankan agar tampil
memberi maklumat kepada pihak polis di talian 084-344111 atau 014-9067909 Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Zam Zam Ismail.


Next Post Previous Post