MCMC gempur aktiviti vandalisme, curi kabel dan bateri komunikasi di Sarawak
KUCHING-- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sarawak giat mengempur aktiviti vandalisme dan kecurian kabel dan bateri di menara telekomunikasi di negeri ini.
MCMC dalam kenyataan di Facebook rasminya berkata, hal ini kerana penyebab utama kualiti rangkaian komunikasi mudah alih dan talian tetap terjejas adalah disebabkan kegiatan vandalisme dan kecurian.
"Mungkin ramai di antara kita tidak tahu, salah satu penyebab utama kualiti rangkaian komunikasi mudah alih dan talian tetap terjejas adalah disebabkan kegiatan vandalisme dan kecurian.
"Industri komunikasi mengalami kerugian jutaan ringgit setiap tahun akibat kecurian peralatan seperti kabel dan bateri.
"Secara tidak langsung, aktiviti harian pengguna seperti proses pembelajaran dan perniagaan atas talian turut terjejas akibat perbuatan khianat ini," katanya.
Susulan itu, MCMC Sarawak baru-baru ini telah menjalan pemeriksaaan ke atas premis-premis perniagaan barang lusuh sekitar Kuching di bawah Operasi Bersepadu Ops Lusuh yang diketuai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Turut sama dalam operasi bersepadu ini adalah wakil-wakil dari syarikat telekomunikasi dan syarikat utiliti Sarawak Energy Berhad.
Katabya, objektif operasi bersepadu ini adalah bagi memastikan premis-premis barang lusuh tidak membeli, menyimpan barangan curi seperti kabel dan logam serta perlu memiliki lesen berkaitan untuk beroperasi.
Selain itu, Ops Lusuh bersama pihak industri komunikasi turut dilaksanakan di Sibu dan ia akan terus dilaksanakan di daerah-daerah lain.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata sebanyak 17 premis perniagaan barang lusuh di Sibu telah diperiksa dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah-Op Lusuh Antara Agensi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.
Jelasnya satu tangkapan dibuat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana dikesan memiliki beberapa komponen motosikal yang disyaki dicuri.
“Tiga premis dikenakan tindakan di bawah Seksyen 6, Akta Peniaga Sekendhend 1946 kerana tidak memiliki lesen perniagaan barang-barang Sekendhend.
“Satu premis dikenakan kompaun oleh penguatkuasa Pejabat Kesihatan Sibu atas kesalahan gagal menjaga kebersihan premis dari pembiakan nyamuk,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Katanya, operasi bersepadu selama dua hari bermula 18 Julai itu dijalankan dengan kerjasama penguatkuasa Majlis Perbandaran Sibu, Pejabat Kesihatan Sibu, Jabatan Imigresen Sibu, Jabatan Tanah dan Survei Sibu, Sarawak Energy Sibu, Lembaga Air Sibu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Sibu, TM-Telekom Sibu, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu dan wakil syarikat telekomunikasi.
“Objektif operasi untuk memastikan semua pemilik premis Sekendhend mematuhi syarat-syarat lesen peniaga Sekendhend, tidak membeli atau menyimpan barang-barang curi dan harus memiliki lesen peniaga Sekendhend sebagaimana termaktud dalam Akta Peniaga Sekendhend 1946 untuk beroperasi,” katanya.