Makan keropok mengandungi racun tikus: Abang meninggal, adik masih kritikal

KUCHING-- Muhammad Akil Syauqi, 3, yang merupakan dua beradik yang kritikal selepas memakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di Kulim pada Ahad lalu, dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), pada jam 8.30 pagi tadi.

Tambahnya, manakala adik mangsa, Muhammad Luth Syauqi, 2, masih dirawat di hospital sama.

Sementara itu, ibu mangsa, Nurain Hasnorizal, 25, turut mengesahkan pemergian Muhammad Akil yang juga anak sulungnya.

"Abang (Muhammad Akil) sudah tiada (meninggal dunia) ketika menerima rawatan. Urusan bedah siasat akan dijalankan, dan jenazah dijangka dibawa pulang ke Kampung Banggol Berangan, Labu Besar di sini, untuk dikebumikan," katanya.

Sebelum ini, Mohd Azizul dilaporkan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

Pada Ahad lepas, dua beradik itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas memakan makanan ringan berupa keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi.

Difahamkan, keropok itu dikatakan digantung pada pagar dawai yang dipasang oleh pemilik kebun, dipercayai untuk tujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanaman. 

Lokasi kejadian itu terletak kira-kira 50 meter dari rumah dua beradik terbabit.

Kemudian, ibu mangsa mendapati dua anaknya itu muntah dan menggelupur seperti diserang sawan dan segera membawa mereka ke Klinik Kesihatan Malau dan Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.

Selepas itu, dua beradik terbabit dihantar ke Hospital Pulau Pinang berikutan keadaan mereka semakin kritikal.
Next Post Previous Post