Lima projek bernilai RM52 juta siap dilaksanakan di Sarawak-Fadillah

MIRI-- Lima projek yang dilaksanakan menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM52 juta melibatkan tiga Projek Rancangan Tebatan Banjir dan dua Projek Hakisan Pantai siap dilaksanakan di Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, lima projek itu adalah Rancangan Tebatan Banjir Kawasan Penempatan Semula Kampung Bako, Kuching; Rancangan Tebatan Banjir Kampung Sebemban Lembangan Batang Sadong; Rancangan Tebatan Banjir Bintulu, Lembangan Sungai Kemena; Projek Pengawalan Hakisan Pantai Di Kampung Kuala Hilir Oya, Bahagian Mukah dan Projek Pemuliharaan Muara-Muara Sungai Bagi Negeri Sarawak - Kerja-Kerja Pemuliharaan Muara Sungai Sematan, Bahagian Kuching. 


"Dengan siapnya tiga projek tebatan banjir ini, seramai 3,500 penduduk di kawasan terlibat akan mendapat perlindungan daripada risiko banjir, manakala pelaksanaan dua projek hakisan pantai ini akan memberi manfaat kepada seramai hampir 11,000 penduduk dan nelayan daripada risiko banjir dan hakisan pantai.
 
"Saya bersama-sama dengan Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, turut meluangkan masa untuk turun padang bagi membuat pemantauan secara dekat ke Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Miri. 

"Projek RTB ini yang bernilai RM25.6 juta telah mula dilaksanakan di tapak sejak Oktober 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2025," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Penyerahan lima projek siap yang telah dilaksanakan JPS kepada Kerajaan Sarawak pada satu majlis di sini petang ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, melalui pelaksanaan projek ini, seluas 1,100 hektar dan dianggarkan seramai 12,000 penduduk di kawasan persekitaran akan terhindar dari risiko bencana banjir.
 
"Sejumlah RM316 juta juga telah diluluskan bagi melaksanakan Projek Mengatasi Banjir Pantai Negeri Sarawak yang melibatkan 17 lokasi.

"Lokasi-lokasi itu Bahagian Kuching Kg. Siru Melayu dan Rambungan Stoh; Bahagian Betong Pantai Kpg. Semarang, Rumah Ek – Rumah Betty, Pantai Kpg. Beting Maro dan Pantai Maludam; Bahagian Mukah Jalan Mukah-Oya (Kpg. Judan), Kpg. Baru Rajang, Kpg. Tekajong dan Sebako Sedi.

"Bahagian Limbang Pantai Sg.Bangat; Bahagian Miri Pantai Lutong, Bungai Bekenu, Peliau Bungai, Kpg. Kuala Sibuti dan Pantai Bakam; dan Bahagian Samarahan Kampung Seberang Sebuyau, Daerah Sebuyau," katanya.

Jelasnya, penetapan pakej projek mengikut lokasi akan ditentukan oleh JPS Sarawak sebelum proses perolehan dimulakan. 

"Projek ini yang dijangka akan mula dilaksanakan pada tahun 2025 melibatkan pelaksanaan kerja-kerja perlindungan di persisiran pantai sepanjang 40 kilometer (km). 

"Dengan terlaksananya projek ini, dianggarkan seramai 45,000 penduduk persisir pantai akan dapat dilindungi serta 6,000 hektar kawasan agrikultur dan 300 hektar kawasan industri akan dapat dilindungi daripada risiko banjir dan hakisan pantai," tegasnya.

Sebagai rekod di bawah peruntukan pembangunan (DE) sehingga Rolling Plan Kermpat (RP4) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah diluluskan sebanyak 46 projek berkaitan dengan sumber air (JPS) bekalan air (BBA)dan perkhidmatan pembetungan (JPP) untuk dilaksanakan di Negeri Sarawak dan ia melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM6 bilion. 
 
Jumlah peruntukan yang diluluskan bagi tempoh pelaksanaan di bawah RP4, RMKe-12 pada tahun 2024 bagi negeri Sarawak sahaja adalah sebanyak RM299 juta.
Next Post Previous Post