Lelaki maut, motosikal ditunggang bertembung 4WD di Jalan Pesisir Bintulu-Tatau

BINTULU -- Seorang lelaki berusia 24 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dari arah bertentangan dengan sebuah pacuan empat roda (4WD) berhampiran Kampung Tani Jepak di Jalan Pesisir Bintulu-Tatau awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Nixon Joshua Ali mengesahkan, dalam insiden pada jam 7.05 pagi itu, 4WD dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Tatau menghala ke Jepak.

"Sampai di kawasan Kampung Tani Jepak, mangsa yang menunggang motosikal model Yamaha hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar bahagian hadapan sebelah kanan kenderaan terbabit," jelas beliau.

Akibat daripada kemalangan itu ujarnya, mangsa telah mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Bintulu yang turut berada di lokasi kejadian. 

Pemandu 4WD bahagaimanapun tiada mengalami sebarang kecederaan.

Sekiranya ada pihak yang mempunyai maklumat atau terlihat kejadian boleh tampil dan menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Lydia Allan di Balai Polis Trafik Bintulu di talian 086-338575 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu 086-318304.
Next Post Previous Post