Kuasa hidro penting untuk masa depan, PETRA minat jalin kerjasama dengan SEB, IHA dan GRA

KUCHING-- Kuasa hidro termasuk projek mini dan mikro hidro yang menawarkan penyelesaian tenaga mampan untuk elektrifikasi luar bandar sambil meminimumkan kesan alam sekitar amat penting untuk masa depan.

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, untuk itu Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berminat untuk bekerjasama dengan Sarawak Energy Berhad (SEB), Persatuan Tenaga Hidro Antarabangsa (IHA) dan Perikatan Boleh Diperbaharui Global (GRA) untuk mengoptimumkan infrastruktur kuasa hidro negara.

Jelasnya, kerjasama itu mengenai dasar, advokasi dan pembinaan kapasaiti tenaga boleh diperbaharui. 

“Kita membincangkan usaha Malaysia menangani kebimbangan keselamatan sumber dan kesan alam sekitar dengan meneruskan alternatif tenaga boleh diperbaharui, termasuk solar dan hidro untuk mempelbagaikan campuran tenaga serta menggalakkan penjanaan elektrik mapan.

“PETRA berminat untuk bekerjasama dalam dasar, advokasi dan pembinaan kapasiti tenaga boleh diperbaharui, meliputi storan yang dipam, sumber kuasa melata, dan mengintegrasikan kuasa hidro dalam program tenaga ASEAN,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan SEB di sini hari ini.

Tambahnya lagi, Malaysia boleh memanfaatkan pengalaman antarabangsa dan bantuan teknikal.

Terdahulu, Fadillah menyertai perbincangan dengan SEB, IHA dan GRA di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London pada 26 Jun lalu.

Dalam kenyataan media yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sarawak Energy Datu Sharbini Suhaili berkata, SEB komited untuk memajukan tenaga hidro dan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia. 

"Komitmen Sarawak Energy untuk mempercepatkan pembangunan kuasa hidro ke arah Sifar Bersih dan berkongsi pandangan tentang kuasa hidro boleh diperbaharui yang telah menjana pertumbuhan mampan Sarawak. 

"Kuasa hidro yang boleh diperbaharui boleh menjana pertumbuhan sosioekonomi yang mampan di Sarawak dan berkhidmat sebagai salah satu pemboleh utama pertumbuhan serantau," katanya.

Sharbini turut berkata dengan peningkatan sumber dan perkongsian yang diperkukuh, SEB berhasrat untuk menyokong usaha peralihan tenaga global dan menyumbang kepada peralihan tenaga rantau ini. 

Tegasyna, Malaysia mengiktiraf kuasa hidro yang besar sebagai penyumbang kepada sasaran tenaga boleh diperbaharui di peringkat kebangsaan. 

"Dengan ini, Malaysia boleh memainkan peranan yang sangat penting dalam memacu anjakan serantau ini ke arah kuasa hidro boleh diperbaharui, menjadi peneraju peralihan tenaga di Asia Tenggara," ujarnya. 

IHA dan GRA masing-masing diwakili CEOnya Eddie Rich dan Bruce Douglas.
Next Post Previous Post