Kompleks Metanol Mega milik penuh Sarawak dilancar pada hari istimewa

BINTULU-- Sarawak lakar sejarah baharu pada hari istimewanya hari ini apabila Kompleks Metanol Sarawak yang merupakan loji mega pertama dibina dan milik penuh Sarawak. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kompleks itu merupakan projek petrochemical pertama milik penuh Sarawak. 

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Sarawak Petchem yang telah menjemput dan memberi penghormatan kepada saya untuk merasmikan Kompleks Methanol Sarawak di Tanjung Kidurong pada pagi ini.

"Peristiwa pada pagi ini membawa pengertian yang cukup bermakna kepada Sarawak kerana ia suatu gambaran betapa kita berusaha untuk memberi nilai tambah berganda kepada sumber asli bumi Sarawak daripada hanya mengeksport bahan mentah.

"Dan ia menjadi lebih bermakna lagi kerana dilakukan bersempena sambutan 61 tahun kita anak Sarawak diberi kuasa untuk menentu masa depan dan nasib kita sendiri apabila pihak British menyerahkan kuasa pentadbiran kepada orang Sarawak sendiri pada 22 Julai 1963. 

"Tahniah saya ucapkan kepada Sarawak Petchem dan semua pihak yang telah menjayakan projek ini yang merupakan projek petrochemical pertama milik penuh Sarawak," katanya pada majlis perasmian kompleks itu di sini hari ini.

Katanya, Sarawak Petchem yang ditubuhkan pada Jun 2017, adalah syarikat pertama di negeri ini yang terbabit dalam pengeluaran metanol berkapasiti 1.7 juta tan setahun menerusi kilang yang dibina di Bintulu.

Jelas Abang Johari Kompleks Metanol Sarawak ini mewakili satu lagi pelaburan utama di Sarawak yang berfungsi sebagai pemangkin untuk lebih banyak pembangunan ekonomi di rantau ini, memacu penciptaan pekerjaan, memupuk pertumbuhan mampan dan keterangkuman sosial.

"Dalam ucapan penggulungan saya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), saya bercakap mengenai enam projek pemangkin yang akan membantu Sarawak menjana tambahan RM34 Bilion kepada KDNK Sarawak menjelang 2030.

"Salah satu daripada enam projek pemangkin ini ialah Projek Loji Metanol Petchem Sarawak. 

"Projek ini akan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi Sarawak dengan memperkukuh sektor pembuatan dan rantaian nilainya dan ini sejajar dengan matlamat kami untuk meningkatkan sumbangan sektor pembuatan," katanya.

Menurutnya lagi, satu lagi projek besar yang beliau harapkan untuk memperkukuh sektor pembuatan Sarawa ialah projek H2ornbill dan H2biscus di Bintulu. 

"Saya mempunyai harapan yang tinggi untuk kedua-dua projek ini dapat direalisasikan sebelum 2030," tegasnya.

Mengulas lanjut tentang Loji Metanol Sarawak itu beliau percaya projek ini telah mewujudkan satu platform untuk negeri ini membangun dan menarik tenaga kerja mahir. 

Malah semasa fasa pembinaan, katanya projek ini telah pun mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan beliau menjangkakan ia akan terus menyediakan lebih banyak pekerjaan kepada rakyat Sarawak. 

Katanya, kesan ekonomi akan dirasai merentasi pelbagai sektor, daripada perniagaan dan perusahaan tempatan kepada rantaian bekalan yang lebih besar, memupuk daya tahan ekonomi dan kemakmuran selaras dengan aspirasi Sarawak untuk mencapai Pendapatan Negara Kasar per kapita yang tinggi.

"Realisasi Kompleks Metanol Sarawak kami juga menandakan kemasukan kami ke dalam industri petrokimia dan kemunculan kami sebagai pemain penting dalam pasaran metanol global. 

"Dengan pencapaian ini, kita boleh berbangga bahawa Sarawak akan menjadi salah satu pengeluar metanol global, yang mampu menghasilkan metanol sehingga 1.75 juta metrik tan setahun," ujarnya.

Justeru, beliau menyeru bakat Sarawak dari luar negara dan Semenanjung Malaysia kembali ke Sarawak dalam bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negeri ini.

"Saya ingin menyeru anak-anak Sarawak yang mempunyai kepakaran di luar negara untuk kembali dan terlibat secara aktif dalam usaha kita membina Sarawak ke arah yang lebih baik," tambahnya.

Gambar Kredit UKAS
Next Post Previous Post