Kereta terbabas dalam parit, dua maut
SIBU -- Dua lelaki menemui maut selepas kereta yang dinaiki keduanya hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit di Jalan Stabau-Salim di sini petang semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Johnny Janin berusia 18 tahun dan Dennis Jingga berusia 29 tahun disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 6.55 petang," ujarnya.
Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta Proton Saga FLX yang terbabas ke dalam parit tepi jalan.
Pemeriksaan yang dijalankan katanya mendapati terdapat dua orang lelaki dewasa didapati tersepit dalam kereta terbabit.
Anggota bmba kemudiannya bertindak melakukan operasi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan RTA sehingga kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan.
Kedua-dua mangsa yang disahkan meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak KKM sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Setelah keadaan didapati benar-benar selamat, maka operasi ditamatkan pada jam 8 malam sebelum bertolak balik ke balai.