Isu kawal selia gas di Sarawak: PETRONAS harus selesaikan sehingga 1 Oktober ini-Abg Jo

Gambar Kredit UKAS

KUCHING-- Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) perlu menyelesaikan isu berkaitan kawal selia pengagihan gas di Sarawak dengan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sehingga 1 Oktober tahun ini, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, ini susulan tempoh tiga bulan yang telah diberi kerajaan Sarawak kepada PETRONAS untuk memuktamadkan isu berkaitan perkara tersebut. 


Gambar Kredit JaPen

Sebelum ini, Sarawak memutuskan bahawa PETROS akan mengambil alih peranan dalam semua aktiviti kawal selia gas asli di Sarawak bermula 1 Julai ini.

"Kita telah memberi tempoh tiga bulan untuk mereka menyelesaikan perkara ini dengan mengadakan perbincangan dengan PETROS.


"Dan perbincangan pihak PETROS dan PETRONAS mesti selesai 1 Oktober ini, kalau (belum selesai juga) kita akan (mengambil alih) kawal selia pengagihan gas (di Sarawak)," katanya.

Gambar Kredit JaPen

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri upacara menaikkan bendera Sarawak, Ibu Pertiwi, di Dataran Ibu Pertiwi, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Gambar Kredit JaPen

PETRONAS sebelum ini meminta penangguhan pelaksanaan pengambilalihan itu kerana pengagihan gas ke Loji LNG di Bintulu akan terjejas.

Abang Johari menegaskan, di bawah Ordinan Pengagihan Gas, PETROS diberi kuasa untuk menjalankan pengagihan gas di Sarawak.

Gambar Kredit JaPen

"Kita tahu kebimbangan PETRONAS dan kita menghormatinya kerana Sarawak juga mempunyai ekuiti dan (pegangan) saham di loji LNG namun perkara lain berkaitan pengagihan gas semuanya sudah diselesaikan," jelasnya sambil menambah Sarawak telah menyelesaikan isu berkenaan dengan syarikat minyak dan gas lain termasuk Shell.

Tambahnya lagi, perbincangan mengenai penerokaan minyak dan gas sedang berjalan antara PETROS dan syarikat minyak dan gas lain termasuk Shell.

Gambar Kredit JaPen

"Banyak syarikat minyak dan gas menunjukkan minat untuk datang ke Sarawak, EXXON pun mahu ke Sarawak (untuk menerokai industri minyak dan gas di Sarawak)," ujarnya.

Semalam, PETRONAS dalam kenyataannya memberitahu pihaknya kini sedang berbincang dengan kerajaan Sarawak dan Persekutuan serta PETROS untuk mencapai resolusi bersama mengenai pengagihan gas di Sarawak.

Gambar Kredit JaPen

Next Post Previous Post