Hukuman tidak berat antara faktor kemudahan utiliti, telekomunikasi jadi sasaran, perlu undang-undang yang lebih ketat

KUCHING-- Hukuman tidak berat dilihat antara faktor berlakunya kes kecurian kabel dan peralatan utiliti serta telekomunikasi di Sarawak yang semakin membimbangkan hingga menyebabkan kerugian RM20 juta pada tahun lepas.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, untuk menangani masalah itu, kerajaan Sarawak melihat keperluan untuk memperketatkan lagi undang-undang bagi pesalah dan pembeli (peniaga barang lusuh) yang terlibat.

Jelasnya, kerajaan Sarawak akan merujuk perkara berhubung undang-undang itu kepada Peguam Besar Negeri Sarawak.

"Kita akan rujuk kepada Peguam Besar Negeri Sarawak untuk melihatnya tetapi undang-undang itu di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

"Tetapi saya akan rujuk kepada Peguam Besar Negeri Sarawak, kita mungkin akan melihat undang-undang yang lain yang boleh diguna pakai seperti undang-undang (di bawah bidang kuasa) pihak berkuasa tempatan.

"Ini kerana saya lihat undang-undang sekarang tidak begitu berat (hukumannya) jadi tengoklah nanti macam mana kita nak perkasakannya. Saya mahu dapatkan nasihat daripada Peguam Besar Negeri Sarawak dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kempen Anti-Vandalisme Terhadap Kemudahan Utiliti dan Telekomunikasi 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari memberitahu, mengikut trend sekarang jika tidak diberi kesedaran mungkin ia akan meningkat.

"Kadang-kala orang hanya tahu menyalahkan pihak Sesco jika berlaku 'blackout' (terputus bekalan elektrik) walhal punca daripada kejadian itu adalah disebabkan vandalisme atau kecurian kabel.

"Kerana bila kabel ini dipotong ia akan menjelaskan jaringan bekalan yang lain di kawasan sekitarnya," tambahnya. 

Oleh sebab itu, katanya, program kesedaran dalam kalangan masyarakat berhubung isu tersebut penting dilakukan bagi mencegah perbuatan vandalisme kemudahan utiliti dan telekomunikasi ini daripada terus berlaku.

"Biar kita beri kesedaran supaya masyarakat tahu tentang kepentingan perkara ini," ujarnya.
Next Post Previous Post