Hab Halal Tanjung Manis potensi tarik pelaburan AS$4.5 trilion

KUCHING-- Hab Halal Tanjung Manis yang menyediakan peluang pelaburan untuk pelabur yang berminat memanfaatkan permintaan global yang pesat untuk produk halal yang mempunyai potensi pasaran yang dianggarkan sebanyak AS$4.5 trilion menjelang 2030.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, hab itu meliputi lebih 70,000 hektar yang memberi tumpuan kepada keseluruhan rantaian bekalan pengeluaran makanan.

Jelasnya, Sarawak sedang membangunkan kawasan yang ditetapkan untuk pertanian komersial seperti agropark, taman akuakultur dan taman agroteknologi untuk menarik pelaburan swasta dan mempromosikan pertanian dan industri berasaskan makanan.

"Taman-taman perindustrian ini dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan asas untuk menyokong industri asas tani," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Perasmian The Future of Food and Agriculture International Conference 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, antara inisiatif lain adalah Sarawak sedang membangunkan rantaian bekalan pertanian yang lengkap untuk memastikan kemampanan industri.

Justeru, beliau mengalu-alukan penyertaan aktif sektor swasta, yang memainkan peranan penting memacu agenda transformasi pertanian, untuk meningkatkan ekosistem dan meningkatkan pengeluaran makanan.

"Ini termasuk pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan yang meningkatkan kecekapan sumber dan meminimumkan kesan alam sekitar melalui penciptaan dan penggunaan teknologi inovatif seperti alat pertanian ketepatan, pembungkusan biodegradasi dan penyelesaian tenaga diperbaharui untuk operasi pertanian.

“Ini kerana kita perlu memastikan bahawa hasil pertanian kita boleh dipasarkan dari ladang ke meja. 

"Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak sedang mewujudkan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan serta terminal agromakanan," jelasnya.

Tambahnya lagi, teknologi yang diguna pakai hendaklah disediakan dan mampu dimiliki oleh komuniti petani.

“Oleh itu, kita amat menggalakkan sektor swasta menyediakan sokongan kewangan dan khidmat nasihat teknikal untuk menggalakkan petani mengamalkan amalan pertanian mampan. 

"Ini mungkin termasuk menyediakan akses kepada kredit mampu milik dan melabur dalam infrastruktur yang mampan,” katanya.

Beliau memaklumkan untuk menggalakkan dan memberi insentif kepada penggunaan amalan pertanian mampan dalam kalangan petani, Kerajaan Sarawak juga menyediakan latihan, bantuan teknikal dan sokongan kewangan kepada petani untuk melaksanakan amalan pertanian mampan seperti penggiliran tanaman, agroforestry, pengurusan perosak bersepadu dan teknik pemuliharaan tanah.

"Antaranya Sarawak telah memulakan inisiatif penanaman padi secara besar-besaran dengan matlamat untuk meningkatkan pengeluaran padi daripada kira-kira 118,000 tan metrik pada masa ini kepada 358,000 tan metrik menjelang 2030 untuk mencapai sara diri beras. 

“Untuk tujuan ini, usahawan tani kami akan menggunakan varieti padi yang menghasilkan hasil tinggi, menggunakan teknologi terkini dan melaksanakan pengurusan ladang yang inovatif untuk meningkatkan produktiviti padi.

“Kerajaan Sarawak telah menjalankan projek perintis untuk meningkatkan hasil padi di Samarahan, Sarawak. 

“Projek ini telah berjaya meningkatkan hasil padi daripada satu tan metrik sehektar kepada lima tan metrik sehektar dan oleh itu kami akan mengembangkan inisiatif ini untuk meningkatkan tahap sara diri kami dan untuk pasaran eksport,” ujarnya.
Next Post Previous Post