Dua warga emas antara 3 cedera dan melecur dalam kebakaran di Kampung Bruit Daro
DARO -- Dua warga emas antara tiga melecur dalam kebakaran yang membabitkan sebuah rumah PPRT di Kampung Bruit di sini petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, dua warga emas lelaki dan wanita yang melecur pada bahagian tangan, dada serta belakang badan berusia 79 dan 76 tahun manakala seorang lagi wanit berusia 32 tahun melecur pada bahagian tangan kiri.
"Sepasukan anggota BBP Daro dan PBS Bruit bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran pada jam 4.35 petang bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat serta memadam kebakaran," jelasnya.
Sampai di lokasi pasukan bomba mendapati berlakunya kebakaran yang melibatkan sebuah kediaman jenis tidak kekal yang sedang terbakar.
Pasukan bomb kemudiannya bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan sumber air dari 3 tangki simpanan air milik penghuni rumah.
"Semasa kejadian, tiada sumber air yang mencukupi bagi menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran memandangkan sumber air terbuka yang merupakan sungai berdekatan sedang surut," jelasnya.
Setelah hampir dua jam memadam kebakaran yang berlaku, maka api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 6.55 petang.
Tiga mangsa yang mengalami kecederaan dan melecur kemudiannya dihantar ke Klinik Kesihatan Betanak oleh unit ambulans klinik sebelum dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.
Gambar PGO Sarawak