Curi wang deposit tetap RM24.2 juta: 10 termasuk dua pengurus bank didakwa
KOTA KINABALU-- Curi wang deposit tetap berjumlah RM24.2 juta, sepuluh individu termasuk dua pengurus bank didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Subramaniam Thangavelu, 56, seorang guru; Josepin J. Langkan, 38, seorang kontraktor; Nasir Abdul Rasid, 60, pesara; Irene Chin Nyuk Thien, 38, and Christina @ Caroline Pianus Etip, 53, kedua-dua pengurus cawangan bank; Sugumaran K. Ponniah, 56, bekerja sendiri; Vireonis Jonok, 35, penganggur; Leong Hin Ping, 62, pesara; Hasran Magin, 46, nelayan dan Mazlani Jenuary, 53, penganggur.
Kesemua mereka dihadapkan di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan.
Mereka didakwa atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang, melibatkan kesalahan yang serius yang dilakukan antara 26 April dan 10 Julai tahun ini di cawangan MBSB di sini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang masing-masing didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Sembilan tertuduh diwakili peguam masing-masing, manakala Hasran disyorkan untuk melantik peguam bagi mewakili dirinya.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 13 September depan dan kesemua tertuduh tidak ditawarkan jaminan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail dan Maryam Jamielah Ab Manaff.