CENTEXS Lundu dipilih menjadi pusat latihan teori aeroangkasa

KUCHING-- Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Lundu dikenal pasti sebagai pusat latihan teori bagi pengajian aeroangkasa di Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini selari dengan usaha kerajaan Sarawak untuk mewujudkan fakulti baharu dalam bidang aeroangkasa di Kolej Universiti i-CATS di sini.

"Kita sudah mengenal pasti satu industri yang sedang kita bangunkan di Sarawak ini iaitu aeroangkasa dan kita telah mempunyai tempat untuk pusat latihan yang berkenaan dengan aeroangkasa di Tanjong Bako.

"Tetapi latihan teorinya akan diadakan di CENTEXS Lundu kerana ia adalah satu kerjasama di antara CENTEXS dengan pihak mengendalikan disiplin aeroangkasa ini.

"Ini kerana kita akan membuka fakulti aeroangkasa di i-CATS dan ini adalah satu pengajian baharu yang ada kaitan juga dengan teknologi tinggi kerana kita sudah ada (industri) reka bentuk cip yang mengeluarkan cip dan satu daripada penggunaan cip yang baru ini ialah avionik yang hubung kait dengan sektor penerbangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Regata dan Pesta Batang Kayan Lundu 2024 dekat sini hari ini.

Jelas Abang Johari, ekosistem itulah yang Sarawak bangunkan dan centexs di lundu telah dikenal pasti sebagai pusat latihan teorinya.

Tambahnya lagi, pengambilan pelajar belum dilakukan kerana Sarawak masih menunggu pemindahan syarikat pengeluaran bahan-bahan kapal terbang dari Selangor ke negeri ini.

"Pengajian ini akan diadakan di Sarawak disebabkan kita mempunyai persekitaran termasuk tenaga yang digunakan

"Sekarang ini kajian kita tidak lama lagi siap mengenai kos pelaksanaannya untuk kita memberikan yuran percuma kepada anak Sarawak yang mengambil pengajian ini.

"Saya rasa kita dapat membayar yuran ini untuk anak-anak kita kerana apabila dimula ia tidak boleh diputus (terhenti).

"Ini adalah satu-satunya kajian disiplin yang baharu yang menuju ke arah teknologi tinggi," ujarnya.

Beliau juga yakin dengan kedudukan kewangan Sarawak ketika ini mampu menyediakan dana untuk pendidikan percuma kepada anak Sarawak bagi melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut.

"Kedudukan kewangan kita boleh menyediakan peruntukan untuk anak Sarawak yang layak untuk belajar di peringkat universiti yang akan kita letakkan mereka di sana dengan yuran percuma pada 2026," tegasnya.
Next Post Previous Post