Bot nelayan tiga beranak karam, bapa maut, dua anak selamat

MATU-- Bapa maut manakala dua anaknya selamat selepas bot nelayan yang dinaiki tiga beranak itu karam di perairan Pulau Bruit iaitu berhampiran kampung Penipah, Daro malam tadi.

Ketua Polis Daerah Matu Daro Deputi Superintendan Rahim Mihos berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 8.19 pagi tadi.

"Sebuah bot nelayan yang dinaiki tiga beranak dilaporkan telah keluar ke laut pada jam lebih kurang 6.00 petang semalam untuk menangkap ikan.

"Pada sebelah malam ketika tiga beranak dalam perjalanan balik ke pangkalan Kampung Penipah, bot yang dinaiki telah terbalik akibat dipukul gelombang besar ekoran angin kuat dan hujan lebat. 

"Dua anak lelaki mangsa dalam bot telah berjaya berpaut pada badan bot sementara seorang lagi mangsa yang berumur 55 tahun iaitu bapa mereka telah didapati hilang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Rahim, hasil pencarian penduduk kampung telah menjumpai mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kabin kecil bot tersebut. 

"Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa telah meninggal dunia," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati para nelayan agar berhati-hati ketika turun ke laut ekoran angin dan ombak yang kuat serta keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini.
Next Post Previous Post