Bekalan air luar bandar: 12 projek di Sarawak, 24 di Sabah tertangguh sehingga tujuh tahun

KUCHING-- Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2024 Siri 2 mendedahkan sebanyak 12 projek bekalan air di Sarawak dan 24 projek di Sabah melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM1.6 bilion tertangguh sehingga tujuh tahun meskipun telah mendapat kelulusan antara 2016 dan 2018.

Laporan itu menyebut, 36 projek bekalan air di Sarawak dan Sabah itu di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

"Projek ini di bawah KKDW yang bernilai RM1.6 bilion, iaitu 12 projek di Sarawak bernilai RM888.32 juta dan 24 projek di Sabah bernilai RM758.85 juta," kata LKAN.

Kata laporan itu, keadaan itu menyebabkan gangguan bekalan air di Sarawak dan Sabah yang tidak ditangani dengan baik sekali gus menyebabkan penduduk luar bandar di dua negeri tersebut, masih tidak dapat menikmati bekalan air bersih dan terawat.

Laporan itu turut menyatakan bahawa secara keseluruhannya Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sarawak dan Sabah tidak mencapai objektif yang telah ditetapkan. 

"Projek yang bertujuan membekalkan air bersih kepada mereka yang tinggal di kawasan luar bandar di dua negeri tersebut telah tertangguh antara lima dan tujuh tahun.

"Ini menyebabkan 32,229 isi rumah tidak mempunyai bekalan air bersih dan terawat, walaupun perunding telah dilantik untuk semua projek ini," kata laporan itu.

Perkara ini susulan, terdapat kelemahan terhadap fungsi dan pelaksanaan projek yang tidak selari dengan objektif BALB, berkaitan taraf kesihatan dan kualiti hidup yang tidak dapat diukur.

“Sasaran pencapaian projek itu juga tidak konsisten, kerana diturunkan dari penetapan asal tanpa justifikasi. 

"Terdapat juga projek yang telah siap dan diserahkan kepada kerajaan negeri, namun tidak digunakan dan diselenggara serta peruntukan disalurkan tidak dibuat pembayaran pada tahun semasa.

“Ketiadaan penyenggaraan secara berkala dan kelewatan pembaikan aset, menjejaskan operasi bekalan air dan jangka hayat aset menyebabkan kerugian kepada dana Kerajaan serta bekalan air tidak dapat dimanfaatkan oleh rakyat,” ujarnya. 

Alasan kementerian untuk kelewatan itu termasuk memerlukan lebih banyak masa untuk melantik perunding, menyediakan dan meluluskan reka bentuk projek; bantahan daripada penduduk tempatan; perubahan dalam dasar perolehan kerajaan; perubahan dalam skop kerja; prestasi kontraktor dan sekatan COVID-19.

Terdapat 35 projek sepatutnya di Sarawak dan 377 di Sabah, bermakna kadar penyiapan yang lemah masing-masing sebanyak 51.9 peratus dan 34.4 peratus.

Laporan itu juga berkata terdapat beberapa projek siap yang tidak digunakan atau diselenggara selepas diserahkan kepada kerajaan negeri.

Ini termasuk tangki servis RM9.2 juta yang tidak digunakan sejak projek itu siap pada Mac 2018.
Next Post Previous Post