Atasi bencana banjir: 43 projek diluluskan di Sarawak
KUCHING-- Kerajaan persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) meluluskan 46 projek berkaitan air di Sarawak meliputi 33 projek sambungan dan 13 projek baharu.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri
Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato Sri Fadillah Yusof berkata jumlah peruntukan yang diluluskan bagi tempoh pelaksanaan Rolling Plan Empat (RP4) pada 2024 adalah sebanyak RM298 juta.
"Fokus utama projek-projek ini merangkumi perlindungan banjir dan banjir pantai, hakisan pantai dan pemuliharaan muara," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak (Pakej 3) yang melibatkan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Gersik, RTB Sungai Sinjan serta kerja-kerja Mendalamkan dan Melebarkan Sungai Tengah dan Sungai Minjap, Matang di Dewan SK Tan Sri Datuk Haji Mohamed, Matang hari ini.
Mengulas lanjut PLSB Sungai Sarawak, Fadillah berkata
PETRA telah diluluskan sejumlah RM191 juta bagi pelaksanaan Projek PLSB Sungai Sarawak dengan tujuan mengatasi masalah banjir beberapa kawasan di bandar raya Kuching.
Jelasnya, projek itu dilaksanakan dalam tiga pakej bagi mempercepatkan pelaksanaannya.
"PLSB Sungai Sarawak Pakej 3 yang dirasmikan hari ini melibatkan kos sebanyak RM41.96 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei 2026.
"Manakala PLSB Sungai Sarawak Pakej 1; yang melibatkan SubLembangan Sungai Kuap sedang dilaksanakan untuk mengatasi masalah banjir di sekitar kawasan Muara Tuang Park, Taman Univista dan Unisquareserta Tabuan Dayak.
"Ia turut disokong dengan pelaksanaan PLSB Sungai Sarawak Pakej 2 yang melibatkan kawasan General Hospital, Lintang Park dan Kuarters Kerajaan, Kuching.
"Kedua-dua PLSB Sungai Sarawak Pakej 1 dan 2 ini juga telah dimulakan pada Mei 2024 dan dijangka siap pada 2026," ujarnya.
Tegasnya, kerajaan persekutuan yakin dengan siapnya keseluruhan projek PLSB Sungai Sarawak melibatkan tiga pakej ini akan dapat mengatasi masalah banjir kilat di kawasan sekitar bandar raya Kuching.
Katanya, projek ini akan memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk sekitar dan dianggarkan seluas 117 hektar akan dapat
dilindungi daripada risiko bencana banjir.
Selain itu, projek ini juga katanya diharapkan dapat meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat serta menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan dengan mengurangkan kerugian akibat banjir.
"Secara keseluruhannya, dalam RP4 Rancangan Malaysia Ke-Dua Belas, kerajaan persekutuan telah meluluskan sebanyak 21 projek dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.2 billion.
"Projek-projek ini melibatkan 18 projek sambungan dan tiga projek baharu yang merangkumi skop tebatan banjir, menaik taraf sistem saliran, pemulihan koridor sungai, hakisan pantai serta program ramalan dan amaran banjir.
"Inisiatif ini bukan hanya bertujuan mengurangkan risiko bencana banjir, tetapi meningkatkan infrastruktur semasa, melindungi ekosistem semula jadi, dan mengukuhkan daya tahan komuniti terhadap impak perubahan iklim," ujarnya.
Oleh itu, beliau memberitahu kerajaan persekutuan sentiasa prihatin dan cakna dalam memastikan kelestarian pelaksanaan projek-projek kerajaan untuk memastikan impak yang maksima demi kesejahteraan rakyat dan merangsangkan ekonomi Sarawak.
"Secara langsung, projek ini dijangka
akan turut dapat meningkatkan semula aktiviti sosio-ekonomi serta menjamin kelangsungan perhubungan penduduk setempat; di samping mengurangkan kerugian harta benda, kemudahan awam dan kehilangan nyawa akibat banjir," tambahnya.