ART bercirikan Sarawak dijangka tiba hujung tahun ini-Abang Johari
BINTULU-- Autonomous Rapid Transit (ART) dengan reka bentuk baharu bercirikan warna bendara Sarawak dijangka tiba di Kuching pada penghujung tahun ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ketika ini ART tersebut sedang dihasilkan di China.
Malah, beliau turut berkongsi reka bentuk akhir ART yang akan menjadi sistem pengangkutan awam yang moden di Kuching pada sambutan Hari Sarawak di sini malam ini.
"Beberapa reka bentuk telah di dicadangkan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak dan Sarawak Metro tetapi hanya satu sahaja yang dipilih untuk menggambarkan aspirasi dan keperkasaan Sarawak.
"Pada hari ini yang penuh bermakna bagi semua anak Sarawak, saya berasa begitu bangga untuk berkongsi visual mengenai rupa dan reka bentuk akhir ART tersebut.
"Pada ketika ini kereta-kereta ART tersebut sedang dihasilkan di China dan kereta pertama dijangka tiba di Kuching pada penghujung tahun ini, Insya-Allah," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Sarawak di sini malam ini.
Menurutnya, ART ini yang menggunakan hidrogen akan membawa transformasi kepada sistem pengangkutan awam di Sarawak dengan permulaannya di Kuching dengan pelaksanaan Kuching Urban Transportation System Project.
"Pada ketika ini, Sarawak Metro sedang gigih melaksanakan kerja-kerja untuk menyediakan landasan khas, stesen perhentian dan depo untuk ART tersebut bagi Kuching dan Kota Samarahan," katanya sambil menambah perkhidmatan ART itu juga akan diperluaskan di Sarawak termasuk Kidurong-Bintulu.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata, Bank Dunia mengesahkan bahawa Sarawak masih mengekalkan status sebagai kawasan berpendapatan tinggi dengan tahap GNI pada USD17,000 berbanding USD15,000 pada tahun sebelumnya.
Tegasnya, pengiktirafan itu bukanlah matlamat terakhir Kerajaan GPS pimpinannya.
"Tahap GNI yang tinggi tidak bermaksud pendapatan setiap isi rumah rakyat kita tinggi. Keadaan ini tidak harus dipolitikkan tetapi apa yang lebih penting ialah melaksanakan usaha untuk menangani kepincangan tersebut baik di peringkat negeri mahupun di peringkat persekutuan.
"Fokus Kerajaan GPS sekarang ialah untuk mempertingkatkan pendapatan pertengahan isi rumah Sarawak (atau Median Household Income) yang berada pada tahap RM4,978 berbanding kadar nasional pada tahap RM6,338.
"Saya amat yakin dengan langkah-langkah untuk mentransformasikan ekonomi Sarawak yang sedang dan akan dilaksanakan, negeri ini akan berupaya untuk mempertingkatkan tahap yang ada sekarang untuk melepasi kadar nasional," tegasnya.
Oleh itu, beliau mengajak rakyat Sarawak untuk terus bersatu dalam menempuh segala cabaran yang mungkin dihadapi untuk mencapai impian semua untuk membina Sarawak yang progresif dari segi ekonomi, inklusif dari segi sosial dan lestari dari segi pemeliharaan alam sekitar sejajar dengan tonggak Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030).