Abang Jo tegaskan Sarawak tidak lepaskan hak-haknya apabila jadi rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia

BINTULU-- Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa Sarawak tidak melepaskan hak-haknya apabila menjadi rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia. 

Sebaliknya katanya, semua hak Sarawak seperti yang terkandung dalam lunas undang-undang Sarawak sebelum Malaysia akan kekal berkuatkuasa jika tidak dipinda di Parlimen dengan persetujuan Dewan Undangan Negeri Sarawak.

"Sebagai contoh, arahan yang dibuat oleh Ratu Elizabeth atau 'Order in Council' pada tahun 1954 berkenaan persempadanan Sarawak menyatakan bahawa sempadan laut Sarawak dipanjangkan sehingga ke pelantar benua termasuk dasar laut dan di bawah dasar laut. 

"Inilah antara hak-hak yang dibawa oleh Sarawak ketika bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Singapura pada 16 September 1963
yang tidak boleh diserahkan kepada pihak lain. 

"Ini adalah antara perkara yang tidak boleh dirunding atau non-negotiable seperti yang saya tekankan sebelum ini," katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Sarawak di sini malam ini.

Sambutan itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Ja’afar dan Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, Timbalan-timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta tetamu kehormat lain.

Selain itu, Abang Johari berkata, Perlembagaan Persekutuan turut mengiktiraf bahawa wilayah bagi setiap negeri di Malaysia adalah seperti sebelum Hari Malaysia iaitu 16 September 1963. 

"Mana-mana undang-undang yang digubal yang mengubah sempadan negeri
tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Negeri tersebut. 

"Ini mengukuhkan lagi pendirian kita mengenai hal-hal berkaitan sempadan ini adalah sesuatu yang tidak terbuka untuk dirunding," tambahnya.

Jelasnya lagi, contoh kedua ialah berkenaan Kanun Tanah Sarawak, berkuatkuasa pada 1958 yang memberi Sarawak kuasa penuh untuk menguruskan apa-apa yang berada di bumi Sarawak yang merangkumi sumber-sumber di pelantar benua, didasar laut dan di bawah dasar laut termasuk aktiviti penyimpanan karbon atau CCUS.

Tegasnya, hak perundangan mengenai tanah ini turut termaktub di bawah kuasa Negeri melalui Senarai Kedua, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. 

"Oleh itu, sehingga kini Kanun Tanah Negara tidak terpakai di Sarawak kerana Sarawak sudah mempunyai undang-undang tanah sedia ada dan terus terpakai selepas penubuhan Malaysia," katanya.

Memberi contoh ketiga pula, Abang Johari menjelaskan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) yang tidak dapat menidakkan hak Sarawak ke atas
sumber dan gas di luar pantai Sarawak. 

"Selain itu, Territorial Sea Act (2012) yang mengehadkan sempadan laut hanya sejauh 12 batu nautika juga tidak dapat menidakkan hak Sarawak ke atas persempadanan lautnya yang merangkumi kawasan luar pantai dan pelantar benua sejauh 200 batu nautika.

"Contoh keempat ialah Ordinan Minyak dan Perlombongan Sarawak 1958 (OMO 1958) yang memberi kuasa kepada Sarawak untuk menguruskan dan membangunkan sumber minyak dan gasnya. 

"Undang-undang ini tidak pernah dimansuhkan dan juga terpakai selepas penubuhan Malaysia sehingga bila-bila masa. 

"Atas sebab ini, Sarawak berkuasa penuh ke atas perlombongan minyak didaratan Sarawak dengan projek penggerudian pertama di kawasan Selatan Marudi yang dikendalikan oleh Petros," katanya.

Ekoran daripada ini tegasnya, Kerajaan Sarawak mempunyai kuasa untuk menguruskan pengedaran gas atau sebagai “aggregator”di Sarawak melalui pindaan kepada Ordinan Pengedaran Gas 2016 (Gas Distribution Ordinance 2016). 

"Pindaan ini telah berkuatkuasa mulai 1 Februari 2024. Kuasa ini melibatkan pengedaran di seluruh Sarawak samada di luar pantai atau di daratan. 

"Aktiviti pengedaran gas ini bukanlah suatu perkara yang baharu kerana
penyaluran gas untuk kegunaan domestik sudah berlaku di bawah Shell di Miri sebelum penubuhan Malaysia lagi.

"Pendek kata, sebagai sebuah wilayah berdaulat, Sarawak bercantum dengan wilayah-wilayah lain dengan membawa bersama semua aspek kedaulatan sebuah wilayah yang merangkumi ketua negeri, sistem kerajaan dan perundangan, persempadanan buminya yang jelas dan kependudukan yang juga jelas," ujarnya.

Justeru, beliau mengulangi kenyataan bahawa Sarawak tidak berniat untuk menjatuhkan mana-mana entiti nasional seperti yang coba ditularkan oleh pihak-pihak tertentu.

"Saya amat berharap pihak-pihak tersebut tidak mempolitikkan hasrat rakyat Sarawak untuk sama-sama berkecimpung dalam industri minyak dan gas di negara ini kerana kuasa dan sumber negara ini harus dikongsi dengan lebih
adil dan saksama.

"Sarawak tidak boleh melakukan semuanya sendiri dan jalan yang paling bijak untuk Sarawak ialah melalui perkongsian dan kerjasama dengan entiti-entiti nasional dan juga entiti-entiti antarabangsa untuk mentranformasikan ekonomi negeri ini," katanya.
Next Post Previous Post