43 tahun di bawah kerajaan persekutuan, Pelabuhan Bintulu akhirnya kembali kepada Sarawak-Abang Jo
BINTULU-- Pelabuhan Bintulu akan diserahkan kepada Kerajaan Sarawak setelah 43 tahun berada di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jelasnya, ini berikutan pada Rabu minggu lepas Parlimen telah memansuhkan Akta Pelabuhan Bintulu (1981).
"Ini kerana Sarawak berhasrat untuk mengawal selia dengan lebih berkesan pelabuhan-pelabuhan yang terdapat di Sarawak melalui undang-undang negeri ini sendiri iaitu satu ordinan yang telah digubal sebelum penubuhan Malaysia, Ordinan Lembaga Pelabuhan 1961.
"Kuasa bagi mengawal selia pelabuhan negeri turut termaktub di dalam Senarai Tambahan Negeri (Senarai IIA) di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang telah bersetuju untuk mengembalikan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak dengan memansuhkan akta tersebut," katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Sarawak di sini malam ini.
Tegas Abang Johari, Sarawak tidak pernah menuntut hak daripada Kerajaan Persekutuan tetapi hanya mahu hak yang sedia ada dihormati dan ditunaikan.
"Namun, penyerahan itu bukanlah secara percuma kerana Sarawak perlu membayar pampasan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya mengambil pengambilan aset-aset," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu usaha Sarawak untuk mengembalikan hak-haknya tidaklah bermaksud Sarawak tidak prihatin terhadap kepentingan negara.
"Malah, saya dan rakan-rakan dalam GPS membawa Sarawak untuk menyokong Kerajaan Madani pimpinan PMX kerana akur bahawa Kerajaan Persekutuan hendaklah sebuah kerajaan yang stabil untuk menempuh masa depan yang penuh dengan cabaran.
"Saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada PMX dengan barisan kabinet beliau kerana prihatin kepada usaha untuk menghormati perjanjian antara para pemimpin terdahulu ketika menubuhkan Malaysia.
"Dengan pengembalian hak-hak ini, saya amat yakin Sarawak boleh menjadi kuasa ekonomi baharu di negara ini dan juga di rantau Asia," ujarnya.
Justeru, beliau yakin bahawa jika Sarawak maju, Malaysia secara keseluruhannya juga sama-sama menikmati kemajuan ini kerana hasil kutipan cukai, termasuk cukai korporat dan cukai pendapatan semuanya dikembalikan kepada Kerajaan Persekutuan.
Pada masa sama beliau menegaskan hak-hak dan keistemewaan Sarawak ini adalah apa yang dipersetujui oleh bapa-bapa kemerdekaan pada 1963 dan bukanlah perkara-perkara baharu atau tuntutan semata-mata.
"Semua pihak harus menghormati perjanjian ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan-Laporan Antara Kerajaan (IGC Report).
"Janganlah lagi timbul keadaan seperti yang dinyatakan oleh mendiang Tun Jugah, 'Anang baka tebu, manis di pun tabar di ujung' atau 'Jangan seperti tebu, manis di pangkal, tawar di hujung'," tegasnya.