3 lelaki berhadapan hukuman gantung sampai mati, edar dadah ekstasi dan ketamin seberat 72.7 gram

BINTULU -- 3 lelaki tempatan berusia 31 hingga 41 tahun berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti mengedar dadah jenis ekstasi dan ketamin seberat 72.7 gram.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, ketiga-tiga suspek ditahan sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Bintulu di salah sebuah pusat hiburan di sini, hari ini.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan ujarnya menemukan sejumlah 2 peket plastik disyaki mengandungi dadah jenis serbuk ekstasi 50 gram, satu peket plastik lutsinar mengandungi 59 biji pil disyaki dadah jenis ekstasi seberat 17.7 gram dan 10 peket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis ketamin seberat 5 gram.


"Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek positif mengambil dadah jenis Methamphetamine dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," jelas Nixon.

Hasil siasatan awal yang dijalankan katanya mendapati bekalan dadah terbabit dipercayai untuk diedarkan di sekitar pusat hiburan di Bintulu yang boleh digunakan untuk 50 orang penagih.

Jika sabit kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 39B ADB 1952, ketiga-tiga suspek boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau dipenjarakan seumur hidup beserta sebatan tidak kurang 15 kali.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) ADB 1952, suspek juga boleh dikenakan denda tidak lebih RM5, 000 atau penjara tidak lebih 2 tahun beserta diletakkan tempoh pengawasan selama 2 tahun.
Next Post Previous Post