Warga emas berusia 94 tahun dijumpai selamat selepas hilang 24 jam
KOTA KINABALU-- Seorang warga emas lelaki berusia 94 tahun yang dilaporkan hilang sejak petang Sabtu di Kampung Kionsom Baru di Tamparuli, Tuaran dijumpai selamat hari ini.
Mangsa dikenali Sungkit Akup, ditemui penduduk kampung pada jam 4.29 petang tadi kira-kira satu kilometer dari rumahnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Mohamad Nor Amit, berkata pasukan bomba menerima maklumat penemuan mangsa daripada penduduk kampung yang turut serta membantu mencari mangsa.
“Mangsa dijumpai oleh penduduk kampung pada jam 4.29 petang. Mangsa sukar berjalan tetapi berada dalam keadaan stabil.
"Mangsa juga diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital Tuaran untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
Terdahulu, mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar pada jam 5.55 petang oleh ahli keluarganya sebelum memaklumkan perkara terbabit kepada pihak berkuasa.
Mohamad Nor berkata bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 3.02 petang semalam.
"Sebaik menerima panggilan itu, sembilan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian beserta satu jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
"Pasukan bomba kini berada di lokasi dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa giat dijalankan di sekitar lokasi. Operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam," katanya.
Dalam kejadian berasingan, seorang pendaki wanita yang terseliuh kaki kirinya terpaksa diusung menuruni Gunung Kinabalu oleh anggota bomba pagi Ahad.
Sepasukan lapan anggota, dua dari balai dan enam dari "Mountain Search and Rescue" (Mosar), diketuai oleh komander operasi Reason Justin, dikerah ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan daripada malim gunung pada jam 9 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau Ridwan Mohd Taib berkata pasukannya tiba di lokasi sejauh 2 kilometer, 22 minit kemudian.
“Mangsa tergelincir dan terseliuh kaki kirinya. Dia dibawa dari KM6 ke titik permulaan pendakian Gunung Kinabalu di Pintu Timpohon,” katanya.
Mangsa berusia 38 tahun kemudian dihantar ke hospital daerah untuk rawatan dan pembedahan ditamatkan pada jam 1.55 tengah hari.