Wanita maut, kereta dipandu terbabas lalu terbalik dalam longkang tepi jalan

BINTANGOR -- Seorang wanita menemui maut selepas kereta model Toyota Vios yang dipandunya hilang kawalan lalu terjunam ke dalam parit tepi jalan dalam insiden kendiri yang berlaku di Jalan KJD Batu Wong awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa maut dikenali sebagai Penny Rinta Ngelambong dan disahkan maut di lokasi kejadian oleh pihak KKM yang turut berada di lokasi.



Jelasnya, sepasukan anggota bomba dari BBP Bintangor digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 7.15 pagi.

Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan yang melibatkan sebuah kereta yang terbabas dalam keadaan terbalik dan terbabas ke dalam longkang. 


"Pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat seorang mangsa masih tersepit di dalam kenderaan tersebut," ujarnya.

Pasukan bomba kemudiannya bertindak menarik kereta yang dalam kedudukan terbalik dengan menggunakan winch jentera bagi menstabilkan kedudukan kereta sekaligus memudahkan kerja-kerja mengeluarkan mangsa.


Seterusnya, PKO mengeluarkan mangsa dari kereta melalui tingkap dan sejurus berjaya dikeluarkan, pemeriksaan yang dijalankan KKM mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. 

Setelah memastikan keadaan selamat serta terkawal PKO menamatkan operasi sebelum bertolak balik ke balai.

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post