Tiga sekawan mengaku salah sama sama curi meriam

KUCHING-- Perbuatan tiga sahabat baik mencuri dua meriam tembaga di hadapan Hotel Telang Usan pada 5 Jun lalu membawa padah apabila mereka dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Memetik laporan Borneo Post, hukuman itu dijatuhkan Majistret Zubaidah Sharkawi selepas ketiga-tiga tertuduh, Chin Jin Yih, 34, Wan Osman Yamani Wan Adruce, 36, dan Hilton Jovi Harryson Lily, 28, mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama.

Berdasarkan seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Mengikut fakta kes, mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 5 Jun 2024, sekitar jam 2.25 pagi di hotel tersebut yang terletak di Persiaran Ban Hock di sini. 

Pengadu iaitu pengawal keselamatan yang bertugas di hotel berkenaan terdengar bunyi di luar hotel pada hari kejadian dan seterusnya membuat pemeriksaan dan mendapati dua meriam tembaga perhiasan yang diletakkan di luar pintu kaca utama hotel telah dipotong dan hilang, namun tiada sesiapa kelihatan di sekitar hotel tersebut.

Berikutan kejadian itu, pengadu membuat laporan polis dan dua daripada tertuduh ditangkap pada 9 Jun 2024, manakala seorang lagi ditangkap pada 11 Jun 2024.

Berdasarkan siasatan polis, ketiga-tiga tertuduh didapati sengaja mencuri dua meriam tembaga terbabit dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jelas menunjukkan kesemua tertuduh berada di tempat kejadian.

Malah, semasa tangkapan dibuat, tertuduh menunjukkan tempat meriam tembaga itu disembunyikan, antara lain di kawasan semak samun.

Tiga sekawan terbabit tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa ASP Arman Ibrahim.
Next Post Previous Post