Sekolah, klinik usang: Premier Sarawak umum RM200 juta, PM Anwar lulus serta merta bayaran balik RM100 juta

PETRA JAYA-- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan serta merta peruntukan RM100 juta untuk menaik taraf sekolah dan klinik kesihatan yang usang di Sarawak.

Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam ini.

"Ini sebagai bayaran segera daripada jumlah RM200 juta yang diminta oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk kaedah projek 'bina dulu bayar kemudian'.

"Isnin ini, saya akan arahkan pegawai di Putrajaya untuk salurkan RM100 juta kepada Sarawak sebagai bayaran balik wang pendahuluan untuk membina sekolah dan klinik yang usang di negeri ini," katanya.

Terdahulu, Abang Johari mengumumkan bahawa kerajaan Sarawak bersetuju menyediakan dana pendahuluan RM200 juta bagi menaik taraf sekolah dan klinik usang di negeri ini melalui kaedah 'bina dulu, bayar kemudian' untuk kerajaan persekutuan dan menyasarkan untuk melaksanakan projek naik taraf itu dalam masa 18 bulan akan datang.

Dalam pada itu, Anwar memberitahu bahawa beliau sudi dan memberi laluan kepada Sarawak untuk menggunakan dana negeri terlebih dahulu dan ia akan dibayar balik oleh kerajaan persekutuan.

"Jalankan sahaja projek-projek ini... Kalau boleh kita segerakan dan teruskan, kalau tidak Sarawak dahulukan dulu. Ada beberapa projek (seperti naik taraf) klinik di Kapit, tidak payah (tunggu) Putrajaya luluskan, kita percaya pengurusan (kerajaan Sarawak) di Kapit dan Kuching," katanya.

Justeru, beliau berharap peruntukan tersebut dimanfaatkan dengan baik dan telus serta mengikut peraturan.

"Saya harap tidak ada aktiviti 'sakau-menyakau' bagi kedua-dua projek ini nanti.

"Itu akan memudahkan dan mempercepatkan dan kemudian kami (kerajaan persekutuan) akan bayar.

"Ini menunjukkan ada percaya, di peringkat pentadbiran daerah, negeri dan persekutuan," ujarnya.

Gambar di pautan ini 


Next Post Previous Post