Sarawakku dapat geran daripada Korea Selatan bangunkan Pelan Hala Tuju Hidrogen

KUCHING-- Sarawak terus berada di hadapan dalam membangunkan ekonomi hijau di Malaysia apabila memperolehi geran kajian daripada Kementerian Ekonomi dan Kewangan Korea Selatan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, geran itu diberikan kepada Sarawak melalui Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar bagi membangunkan Pelan Hala Tuju Hidrogen Sarawak.

"Geran ini akan membolehkan Sarawak memulakan kajian perintis untuk membangunkan pelan komprehensif bagi memanfaatkan potensi besar tenaga hidrogen di negeri ini.

"Sebab itu pentingnya kerjasama strategik antara Sarawak dan Korea Selatan, ia akan memajukan kepimpinan Sarawak dalam ekonomi hidrogen melalui penerokaan strategi inovatif pengeluaran dan penggunaan hidrogen,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya di Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 (APGH 2024) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Kerjasama itu katanya dijangka memberi manfaat yang besar, termasuk pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan serta pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan matlamat kelestarian global.

Mengulas lanjut tentang kajian itu, Abang Johari memberitahu, ia akan menumpukan kepada beberapa bidang utama termasuk kemajuan teknologi terkini dalam pengeluaran hidrogen, pembangunan infrastruktur, dan penubuhan rangka kerja pengawalseliaan bagi menyokong industri hidrogen.

Pengumuman itu katanya, mencerminkan komitmen Sarawak untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan rakan kongsi global bagi memacu inisiatif peralihan tenaga dan mencapai matlamat iklim.

Tambahnya lagi, kerjasama itu juga memudahkan pemindahan teknologi dan pertukaran maklumat, membolehkan Sarawak untuk memanfaatkan pemain-pemain yang telah mapan dalam bidang ini dan memajukan kapasiti dan inovasi tempatan dalam membangunkan ekonomi hidrogen.

Selain itu, beliau turut mengumumkan penubuhan Pusat Kecemerlangan Tenaga Bersih di Sarawak iaitu inisiatif baharu yang akan mempelopori penubuhan dan pengurusan tenaga bersih di wilayah ini.

Jelasnya, pusat itu mencerminkan komitmen Sarawak terhadap inovasi dan kemajuan dalam sektor tenaga bersih yang akan menjadi hab inovasi, penyelidikan dan pembangunan, mengumpul saintis, jurutera, penggubal dasar, serta pemimpin industri untuk menerajui teknologi canggih yang memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui.

Menurut beliau, pusat itu juga bertujuan untuk memacu kemajuan dalam bidang tenaga bersih seperti hidrogen, tenaga hidroelektrik, tenaga suria, biojisim, dan teknologi baharu yang lain.

Mengenai Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2024, beliau memberitahu ia merupakan platform terbaik dalam meletakkan Sarawak di barisan hadapan dalam industri tenaga hijau.


Katanya, APGH 2024 juga merupakan medan kepada syarikat mahupun pihak berkepentingan dalam penglibatan industri tenaga hijau bersama kerajaan Sarawak.

"APGH juga penting untuk berkongsi tentang kejayaan Sarawak dalam mengurangkan penggunaan kuasa untuk penghasilan hidrogen.

“Kita berkongsi tentang kejayaan kita dalam mengurangkan penggunaan kuasa daripada 60 kilowatt-jam (kWj) kepada 38 kWj.

“Saya berada di Eropah dan pihak mereka di sana menyatakan perkara tersebut mustahil untuk dikurangkan tapi Sarawak membuktikan kita dapat lakukannya,” ujarnya.

Terdahulu, Premier Sarawak telah menyaksikan lapan pertukaran dokumen dan memorandum persefahaman antara beberapa pihak berkepentingan.

Premier Sarawak turut menyaksikan Memorandum Kolaborasi antara OCBC dan InvestSarawak dan Momerandum Persefahaman (MoU) antara Ice Petroleum dan SEDC Energy.

Untuk Pertukaran Dokumen, Premier Sarawak menyaksikan antara ACWA Power dan SEDC Energy, Planet QEOS, KIS Group dan SALCRA, UNIMAS dan H2Energy, Brooke Holding dan SLB, SEDC Sarawak dan SMBC serta Gentari Synergy dan SEDC Energy.
Next Post Previous Post