Sarawak sedia jadi penganjur bersama SUKAN SEA - Abg Johari

KUCHING-- Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan Sarawak bersedia jadi tuan rumah bersama bagi penganjuran Sukan SEA 2027.

Beliau menjelaskan, kesediaan Sarawak itu bergantung kepada persetujuan kerajaan persekutuan untuk memenuhi dua syarat dari Sarawak.

"(Syarat) pertama adalah sebahagian daripada acara bagi temasya sukan tersebut mesti diadakan di Sarawak dan keduanya, majlis pembukaan mesti diadakan di Sarawak manakala penutupannya di Putrajaya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Larian Baton SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 Peringkat Bahagian Kuching di Tebingan Kuching di sini hari ini. 

Kata Abang Johari, jika dua syarat itu dapat dipersetujui kerajaan persekutuan, Sarawak sedia menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027.

“Kalau hantaran (syarat) ini dipersetujui, kita tidak ada masalah untuk menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu kos yang diperlukan untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA ini dianggarkan berjumlah RM750 juta.

Tambahnya, Malaysia akan malu jika menolak untuk menjadi tuan rumah bagi SUKAN SEA 2027 selepas Vietnam. 

Berikutan itu, jelasnya, atas semangat negara dan atas semangat mencari bakat baru dalam sukan, Sarawak bersedia untuk menjadi tuan rumah bersama kerajaan persekutuan.

Pada masa sama beliau memberi amaran awal kepada pasukan Sarawak supaya membuat perancangan awal bagi menjayakan Sukan SEA 2017. 

"Tempoh tiga tahun sebelum menjelangnya Sukan SEA 2027 adalah singkat, dan perancangan awal perlu dibuat bagi menjayakan sukan ini," ujarnya.
Next Post Previous Post