Rabies ragut satu lagi nyawa

KUCHING-- Satu kes kematian baharu akibat rabies dalam kalangan manusia dilaporkan berlaku pada 5 Jun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Veronica Lugah berkata, mangsa telah dilaporkan meninggal dunia pada 5 Jun 2024 di Hospital Umum Sarawak. 

"JKN Sarawak mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. 

"Dengan pertambahan kes baru ini, kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak yang dilaporkan semenjak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 sehingga kini adalah sebanyak 79 kes dengan 72 kematian. 

"Daripada 79 kes ini, empat kes telah dikesan pada tahun ini, dan kesemua kes telah meninggal dunia akibat komplikasi daripada jangkitan rabies," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut empat kes yang dikesan pada tahun ini, Dr Veronica berkata, satu kes mendapat jangkitan melalui gigitan anjing liar, manakala tiga kes mendapat jangkitan melalui haiwan peliharaan mereka sendiri. 

"Antara tiga kes yang terdedah kepada haiwan peliharaan sendiri, kesemua mereka memelihara kucing manakala salah satu kes turut membela anjing di rumah. 

"Dua kes telah mengutip kucing liar yang tidak diketahui status kesihatan untuk dipelihara. 

"Kesemua haiwan peliharaan mereka juga tidak menerima vaksinasi anti-rabies serta bebas bercampur dengan haiwan liar," jelasnya.

Tambahnya, risiko untuk haiwan peliharaan ini dijangkiti rabies adalah amat tinggi, justeru risiko untuk manusia dijangkiti juga tinggi sekiranya digigit atau dicakar. 

Tegas beliau lagi, kesemua kes juga tidak mendapatkan rawatan atau menerima vaksinasi anti-rabies di mana-mana fasiliti kesihatan selepas digigit atau dicakar haiwan. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu kejadian gigitan anjing dan kucing di Sarawak masih tinggi.

Menurutnya, sejak 2017 sehingga Minggu Epid (ME) ke-22 2024 (26 Mei 2024 sehingga 1 Jun 2024), terdapat 56,023 kes gigitan anjing, 47,258 kes gigitan/cakaran kucing, dan 1,577 gigitan lain-lain haiwan telah dilaporkan. 

"Bagi tempoh ME 1 tahun 2024 (31 Disember 2023 sehingga 6 Januari 2024) sehingga ME Ke-22 Tahun 2024,
sebanyak 8,219 kes gigitan haiwan dilaporkan dan secara puratanya terdapat 372 kes gigitan haiwan dilaporkan setiap minggu di Sarawak.

"4,531 kes atau 55.1 peratus adalah gigitan/cakaran kucing, 3,557 kes atau 43.3 peratus adalah gigitan anjing, manakala selebihnya 131 kes atau 1.6 peratus adalah haiwan lain-lain.

"5,704 kes atau 69.4 peratus melibatkan kes gigitan atau cakaran haiwan peliharaan manakala 2,515 atau 30.6 peratus adalah kes gigitan atau cakaran oleh haiwan liar," ujarnya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai bahawa manusia boleh mendapat jangkitan rabies bukan sahaja melalui anjing, tetapi juga kucing yang dijangkiti rabies. 

"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdekatan (Lampiran 1) jika digigit atau dicakar oleh anjing atau kucing, termasuk haiwan peliharaan sendiri. 

"Pastikan semua anjing dan kucing peliharaan diberi vaksinasi anti-rabies yang lengkap setiap tahun dan jangan biarkan anjing atau kucing peliharaan anda berkeliaran tanpa dipantau. 

"Jangan sesekali mengutip anjing atau kucing yang tidak diketahui status kesihatan atau vaksinasinya," katanya.
Next Post Previous Post